- Iklan -
Berita

8 calon rebut jawatan naib presiden Umno

Nama calon yang bertanding bagi jawatan itu diumumkan dalam majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid (dua dari kanan) bersama ahli Majlis Tertinggi Johari Abdul Ghani (tiga dari kiri), Azalina Othman Said (tiga dari kanan) dan Reezal Merican Naina Merican (kanan), yang bertanding jawatan naib presiden. Gambar: Bernama
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid (dua dari kanan) bersama ahli Majlis Tertinggi Johari Abdul Ghani (tiga dari kiri), Azalina Othman Said (tiga dari kanan) dan Reezal Merican Naina Merican (kanan), yang bertanding jawatan naib presiden. Gambar: Bernama

Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid.

Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Johari Abdul Ghani.

Turut bertanding Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri.

Nama calon yang bertanding bagi jawatan itu diumumkan dalam majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi, yang turut dihadiri oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Mohamad Hasan.

Bagi calon Ahli Majlis Tertinggi (MT), seramai 95 orang layak bertanding termasuk Setiausaha Agung Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias, Menteri Luar Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Jawatan Ketua Pergerakan Wanita pula menyaksikan persaingan satu lawan satu antara penyandangnya Noraini Ahmad dan veteran Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Bagi jawatan Naib Ketua, Rosni Zahari yang merupakan Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional (BN) akan dicabar oleh Ketua Wanita Umno Pulau Pinang Norliza Abdul Rahim.

Jawatan Ketua Pemuda Umno pula menyaksikan perebutan antara empat calon iaitu Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh, Ahli Majlis Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah dan calon Meor Hassan Mat Ali. 

Perebutan jawatan timbalan ketua pemuda Umno juga menyaksikan empat calon bertanding termasuk anak bekas Perdana Menteri iaitu  Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah. 

Perebutan bagi jawatan Ketua Puteri Umno pula melibatkan enam calon termasuk Naib Ketua Puteri Nurul Amal Mohd Fauzi, Ahli MT Khaidhirah Abu Zahar dan Setiausaha Puteri Umno Nurul Hazwani Mohd Fauzi manakala Naib Ketua Puteri menyaksikan tiga calon.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berharap pemilihan kali ini berjalan lancar mengikut garis panduan ditetapkan selaras dengan hasrat untuk menjadikan Umno sebuah parti yang kuat.

Beliau berkata pemilihan kali ini penting kerana mereka yang bertanding adalah calon Umno Malaysia dan tidak mewakili mana-mana kumpulan.