- Iklan -
Berita

Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM untuk bantu siasatan

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang disiasat pihak SPRM.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Gambar: Bernama

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

Menurut Tengku Zafrul, beliau akan berjumpa dengan pihak  SPRM dalam masa terdekat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi itu.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang disiasat pihak SPRM.

"Saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Selepas dipanggil baru boleh saya sahkan mengenai apa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Miti dan agensi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, SPRM, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya akan memanggil Tengku Zafrul yang merupakan bekas menteri kewangan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

Menurut Tengku Zafrul, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada 'perbelanjaan' yang tidak sepatutnya berlaku. 

"Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul, menerusi catatan di Facebook semalam, berkata tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.