- Iklan -
Berita

Ketua Umno Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang pada 8 dan 27 September 2017.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Umno Bahagian Shah Alam Azhari Shaari. Gambar: Facebook
Ketua Umno Bahagian Shah Alam Azhari Shaari. Gambar: Facebook

Ketua Umno Bahagian Shah Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan peruntukan program korban dan anak yatim berjumlah RM440,000 dan menggunakan dokumen palsu.

Azhari Shaari, 53, didakwa atas tiga pertuduhan iaitu sebagai penandatangan tunggal akaun bank bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur, Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan pakaian sekolah anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000.

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang pada 8 dan 27 September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan serta maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Azhari juga didakwa atas  tiga pertuduhan menggunakan tiga minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan sama sebagai tulen, yang tertuduh ketahui ia adalah dokumen palsu. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin bagi keenam-enam pertuduhan serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Azhari yang diwakili peguam S. Ashok Kandiah memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga selain kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.