- Iklan -
Berita

Mengapa Mahathir kalah di Langkawi?

Pengundi muda hormat negarawan tersebut, mahu beliau berehat daripada politik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta sedang melintasi mural Dr Mahathir Mohamad di Alor Star, Kedah.
Sebuah kereta sedang melintasi mural Dr Mahathir Mohamad di Alor Star, Kedah.

Balqis Dzulkefly menceritakan kembali pengalamannya membuang undi bagi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan menyifatkan ianya sebagai “separuh teruja” kerana perlu membuat keputusan yang berbeza dengan apa yang dihajatinya selama ini.

Sejak kecil, Balqis amat menyanjung tinggi keperibadian dan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad yang dua kali menjadi perdana menteri dan banyak berjasa kepada Pulau Langkawi.

Hasratnya jika sudah mempunyai kuasa untuk memilih, sudah pasti undinya untuk pemimpin itu. 

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku. 

Undi Balqis pada November lalu tidak berpihak kepada Mahathir dan dia juga menyaksikan kekalahan teruk idolanya apabila hanya memperoleh 4,566 undi, sekaligus hilang deposit.

Pelajar kejururawatan berusia 19 tahun itu mahu melihat negarawan tersebut tidak lagi terlibat dengan politik. 

Katanya, ini bagi memberi ruang beliau berehat dan fokus kepada kesihatan diri di usia 97 tahun.

Meskipun begitu, Balqis menegaskan dirinya tidak pernah mempersoal kebolehan dan kemampuan Mahathir yang masih kuat dan cerdas fikiran di usia tersebut.

“Saya dan kawan-kawan banyak berbual dengan Dr Mahathir sebelum keluar mengundi. Sebenarnya, kami kesian jika dia menang kerana banyak kerja yang dia perlu buat.

“Contohnya pergi Parlimen, hadir mesyuarat dan datang majlis di banyak tempat. Dia lebih tua daripada datuk dan nenek kami di kampung. Lebih baik Dr Mahathir berehat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Balqis lagi, dia dan rakan-rakan sebaya yang juga pengundi muda dan kali pertama di Langkawi tidak berasa ragu untuk memilih mana-mana calon yang rapat dengan Mahathir sebagai pengganti di PRU15 lalu.

“Kalau anak-anak Dr Mahathir yang lain bertanding mungkin kami akan undi, tapi tiada.

“Jadi, saya pilih calon PN (Perikatan Nasional) kerana fikir jika PN menang, Muhyiddin Yassin akan jadi perdana menteri. Tambah pula calon PN lebih muda dan dikenali banyak orang.”

Pada PRU15, selain hilang deposit, Mahathir hanya mampu berada di tempat keempat dalam pertarungan lima penjuru. 

Dengan kekalahan mengejut itu, kerusi berkenaan dirampas oleh Mohd Suhaimi Abdullah dari PN yang mendapat majoriti 13,518 undi.

Mengulas lanjut, Balqis menegaskan dia sama sekali tidak pernah melupakan jasa dan khidmat bekas perdana menteri itu terhadap negara khususnya kepada Langkawi sendiri.

Katanya, melihat tokoh kegemarannya santai di rumah sambil membaca buku lebih menggembirakan berbanding melihatnya bekerja keras di pejabat selepas memenangi pilihan raya.

“Setiap kali balik rumah di Langkawi, saya selalu teringatkan kemewahan dan kepesatan pembangunan di pulau ini.

“Saya membesar melihat pelancong-pelancong luar negara dan mat salih datang ke tempat tinggal saya, saya bangga dengan usahanya selama ini. Tetapi, maaf. Saya undi orang lain. Rehatlah.”

Sehingga kini, Pulau Langkawi menjadi sinonim dengan ahli politik veteran itu. 

Semasa berkhidmat sebagai perdana menteri buat kali pertama, Mahathir berjaya menarik ramai pelabur ke pulau itu dan menjadikannya salah satu destinasi pelancongan antarabangsa yang terkemuka.

Sebelum mengumumkan pencalonannya bagi PRU15, Mahathir dilaporkan berkata pilihan raya itu adalah pertandingan terakhir buat dirinya.

"Saya tidak akan hadir untuk PRU16."

Anaknya, Mukhriz Mahathir  juga mengalami nasib yang sama. 

Bekas menteri besar Kedah itu kehilangan kerusi Parlimen Jerlun, tempat dia berkhidmat sejak 2018, selepas PN memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 20,456 undi.

Cukuplah, sudah tidak relevan?

Sementara menyaksikan Parlimen tergantung selepas PRU15, ramai penganalisis politik tampil menyatakan kekalahan beberapa tokoh politik di kerusi yang menjadi “kubu” kerjaya politik masing-masing sebagai satu petanda atau mesej daripada pengundi.

Ada yang berhujah, kekalahan tersebut menandakan mereka tidak relevan di Parlimen itu bermaksud mereka tidak layak bertanding di kawasan itu. 

Selain, Mahathir dan anak lelakinya, seterunya Tengku Razaleigh Hamzah juga menyaksikan penguasaan selama 48 tahun sebagai ahli Parlimen Gua Musang berakhir. Beliau kalah tipis kepada calon PN Mohd Azizi Abu Naim.

Dalam pada itu, seorang pengundi muda di Parlimen Langkawi tanpa teragak-agak mengatakan Mahathir sepatutnya ditolak pengundi sejak PRU14 pada tahun 2018 lalu.

Mohamad Adam Zakari, 23 tahun berkata fungsi Mahathir sebagai ahli politik tidak lagi relevan memandangkan beliau bukan lagi “king maker” kepada senario politik negara terutamanya selepas peletakan jawatan perdana menteri pada 2020.

“Beliau sama sekali tidak boleh hairan dan sedih. Pilihan raya dan buang undi bukan soal menjaga perasaan ahli politik.

“Malah beliau mungkin tidak akan kecewa dan sedih sekiranya terus berdiam diri daripada bertanding pada 2018 lalu,” kata pelajar undang-undang itu kepada MalaysiaNow.

Beliau merujuk kepada kenyataan Mahathir baru-baru ini yang terkilan dan sedih selepas ditolak pengundi Langkawi pada PRU15 lalu.

Bagaimanapun, kata Adam, sebagai pengundi muda mereka mahukan sesuatu yang baru dah segar. 

Bukan lagi bergantung di sebalik nama “jasa” dan “budi” seseorang.

Katanya, cara tersebut bukan satu strategi yang bijak untuk membina pembangunan sesebuah kawasan Parlimen, negeri atau negara.

Ini kerana, sudah menjadi lumrah politik di seluruh dunia apabila seseorang turun dari kuasa maka ianya diambil alih seseorang yang baru.

Atas sebab itu, katanya, zaman dan era kegemilangan Mahathir sudah berakhir dan beliau perlu memberi laluan kepada mana-mana individu yang dipilih pengundi melalui proses yang tepat dan adil di sisi undang-undang.

Selain itu, tambah Adam, Mahathir tidak boleh lagi menggunakan faktor “ultra Melayu” untuk meraih sokongan terhadap parti barunya, Pejuang.

Anak muda itu berpandangan, faktor tersebut sudah lenyap dan tidak terguna pakai lagi kerana bukan sahaja Mahathir tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu, bahkan gagal mendapat sokongan daripada pengundi di Langkawi

“Berehatlah Dr Mahathir, semoga baik-baik sahaja,” katanya.