- Iklan -
Berita

Tiada gelombang henti kerja besar-besaran, kata pakar

Ramai mungkin terpaksa cari jalan tambah pendapatan, sertai sektor gig bagi menampung kos sara hidup.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Para pekerja sedang menunggu bas di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, 20 September 2021.
Para pekerja sedang menunggu bas di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, 20 September 2021.

Pakar meramalkan Malaysia tidak akan berdepan gelombang pemberhentian pekerja secara besar-besaran yang kini berlaku di Amerika Syarikat (AS), di mana lebih 70,000 kakitangan gergasi teknologi seperti Amazon, Microsoft, Spotify dan IBM diberhentikan susulan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengakui bahawa 2023 akan menjadi tahun yang mencabar bagi Malaysia.

Bagaimanapun, Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata jumlah pekerja yang diberhentikan menunjukkan trend penurunan sejak 2020.

"Dari 1 hingga 20 Januari, 3,181 pekerja diberhentikan," katanya.

"Berdasarkan bilangan pekerja yang diberhentikan sehingga 20 Januari, jumlah pada 2023 diunjurkan sebanyak 61,000."

Sejumlah 107,704 rakyat Malaysia diberhentikan pada 2020, ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Seramai 61,360 lagi diberhentikan kerja pada tahun berikutnya. Tahun lepas, jumlah itu menyusut kepada 34,388.

Syed Hussain berkata pasaran pekerjaan tempatan sebenarnya dijangka mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh, pembukaan semula pintu sempadan China selepas tiga tahun terikat dengan dasar "sifar Covid" yang ketat, dan kebangkitan semula projek pembinaan.

"Kadar pengangguran adalah di bawah ambang 4%, yang meletakkan Malaysia pada guna tenaga penuh mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa," katanya.

Shahryn Azmi, pengasas portal pekerjaan gig tempatan MakeTimePay, berkata sebarang pemberhentian pekerja besar-besaran di Malaysia mungkin akan berlaku sebagai sebahagian daripada langkah syarikat AS untuk merasionalkan kos operasi global mereka.

"Kita juga perlu melihat jenis pekerja yang diberhentikan di AS," katanya.

"Penelitian rapi menunjukkan bahawa ini sebenarnya mungkin hanya usaha pengurangan pekerja secara signifikan mengambil ramai pekerja dalam tempoh yang lama.

"Google, sebagai contohnya, memberhentikan 31 ahli terapinya – kira-kira 6% daripada 12,000 kakitangan yang diberhentikan di syarikat tersebut seluruh dunia."

Di Malaysia, Shahryn berkata, masalahnya lebih kepada peningkatan kos sara hidup dan keengganan atau ketidakupayaan majikan untuk menaikkan gaji pekerja mereka.

Akibatnya, beliau berkata, ada yang mencari jalan menambah pendapatan dengan bekerja sambilan walaupun mempunyai pekerjaan sepenuh masa.

"Mereka secara tidak langsung menjadi pekerja gig, tetapi dengan asas pendapatan yang lebih kukuh kerana mereka juga bekerja sepenuh masa," katanya.

Beliau memberi amaran bahawa ini akan terus berlaku sementara menunggu penyelesaian kepada jurang antara gaji dan kos kehidupan, sambil membayangkan senario di mana majoriti pekerja memilih untuk bekerja sendiri secara tetap.

Sementara itu Syed Hussain berkata Malaysia terus berdepan kekurangan pekerja asing, antara 700,000 hingga 800,000.