- Iklan -
Berita

Sejauh mana nasib Khairy sama dengan PM dipecat Umno?

Ramai pihak menyamakan nasib Khairy tidak ubah seperti nasib yang menimpa Anwar Ibrahim dan bekas-bekas perdana menteri terdahulu yang turut menjadi 'korban' dipecat Umno.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Beberapa jam selepas dipecat dari Umno oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT), media sosial dibanjiri dengan kata-kata semangat kepada Khairy Jamaluddin agar tidak berputus asa dalam mencapai hasrat dan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri Malaysia suatu hari nanti.

Bahkan ramai pihak menyamakan nasib Khairy tidak ubah seperti nasib yang menimpa Anwar Ibrahim dan bekas-bekas perdana menteri terdahulu yang turut menjadi “korban” dipecat Umno.

Bagaimanapun seorang pemerhati politik veteran memberitahu MalaysiaNow adalah tidak tepat untuk menyamakan Khairy dengan pemimpin-pemimpin Umno yang dipecat dan berjaya menjadi perdana menteri sebelum ini.

"Apa yang hanya boleh dikatakan ialah menurut sejarah Umno, sesiapa yang dipecat masih berpeluang untuk menjadi PM," kata Zin Mahmud yang juga bekas pengarang kanan di Utusan Malaysia selain aktif menulis buku mengenai falsafah, sejarah, ideologi dan politik tanah air.

Pada September 1969, Dr Mahathir Mohamad dipecat Umno selepas menulis surat terbuka mengkritik pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Beliau kemudian kembali semula ke dalam Umno pada era perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein dan akhirnya berjaya menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981.

Selepas 22 tahun menjadi perdana menteri, Mahathir meninggalkan Umno semasa pentadbiran Abdullah Badawi.

Mahathir kembali menyertai Umno selepas Abdullah meletakkan jawatan akan tetapi meninggalkan semula parti itu pada 2016 kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Najib Razak.

Pada tahun yang sama, MKT Umno juga memecat Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal atas alasan kesalahan disiplin sehingga menjejaskan parti.

Ketika itu, Muhyiddin lantang menyuarakan berhubung skandal 1MDB pentadbiran Najib.

Selepas itu, kedua-dua Mahathir dan Muhyiddin mengasaskan parti Bersatu dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mahathir dilantik sebagai perdana menteri buat kali kedua pada 2018 sebelum meletakkan jawatan 22 bulan selepas memegang jawatan itu.

Muhyiddin pula dilantik sebagai perdana menteri pada 2020 selepas Mahathir meletakkan jawatan ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan global akibat pandemik Covid-19 yang menyaksikan kelumpuhan ekonomi dan aktiviti sosial di seluruh dunia.

Manakala, Anwar dipecat Umno pada 1998 ketika pentadbiran Mahathir atas dakwaan salah guna kuasa dan meliwat.

Beliau kemudiannya dipenjarakan selepas mahkamah mendapatinya bersalah atas dakwaan menyalahgunakan kuasa.

Anwar sekali lagi dipenjarakan pada 2015 atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Lebih dua dekad selepas dipecat dari Umno, Anwar dipilih sebagai perdana menteri ke-10 susulan pembentukan kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah selepas PRU15 lalu.

Bagaimanapun, pemerhati politik berkata perjalanan politik dan kedudukan Khairy kini sangat berbeza dengan apa yang pernah dilalui oleh ketiga-tiga bekas pemimpin Umno tersebut.

Atas sebab itu, tindakan menyamakan pemecatan Khairy dengan mereka yang lain itu sebagai tidak tepat menurut Zin.

Zin berkata, Khairy juga dilihat tidak mempunyai hubungan dan rangkaian yang meluas dan besar seperti Anwar dan tokoh-tokoh lain.

Sebelum ini, Anwar paling kerap memetik nama-nama individu tokoh dari luar negara yang dianggap rapat dan menjadi kenalan baiknya.

Tetapi, kata Zin, memiliki rangkaian antarabangsa juga bukan satu faktor yang dominan dan tidak relevan.

Apa yang lebih penting bagi Khairy adalah hubungan mesra dengan media khususnya para wartawan dan pemberita.

Menurut Zin, hubungan seseorang ahli politik dengan media tempatan adalah penting terutamanya bagi yang mahu menjadi perdana menteri.

Ini kerana, katanya, dalam persediaan menjadi seorang perdana menteri ianya bergantung kepada sokongan ahli-ahli parti dan rakyat Malaysia.

Katanya, imej yang baik hanya dapat disampaikan kepada ahli parti dan rakyat melalui laporan media-media tempatan.

"Hubungan Khairy dengan media juga tidaklah semesra seperti mana yang dimiliki Anwar, Muhyiddin dan Mahathir.

"Malah ada pemberita tempatan mengeluh bahawa Khairy lebih melayan (pemberita) media luar negara berbanding media tempatan."

Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga senada dengan Zin.

Katanya, persamaan Khairy dengan tokoh-tokoh yang lain hanya boleh dilihat dari aspek teknikal iaitu dipecat oleh Umno.

Menurut Shamsul, Khairy dipecat sewaktu Presiden Ahmad Zahid Hamidi berada di kedudukan paling dominan dalam parti.

"Tanpa Zahid, Anwar tidak dapat jadi PM10," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, penganalisis politik tempatan membayangkan keputusan MKT Umno memecat Khairy beberapa individu lain dalam usaha untuk menjauhkan diri parti itu daripada pengaruh dan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin.

"Khairy mesti membina strategi masa depannya.

“Pertamanya, dalam jangka pendek di sekitar mengatasi pengaruh dan kekuatan Zahid biarpun dia dah keluar dari Umno," kata Shamsul.

Ketika ditanya, apakah benar wujud persamaan antara Khairy dan Anwar seperti yang digembar-gemburkan oleh netizen di media sosial sejak kebelakangan ini, Zin menegaskan secara umumnya kedua-dua tokoh itu tiada persamaan.

Perbezaan besar yang boleh diletakkan pada perjuangan mereka.

Katanya, Anwar bermula sebagai aktivis pelajar Islam yang membela penduduk kampung miskin.

Beliau kemudian menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang turut menentang BN sebelum menyertai Umno.

Khairy pula, katanya, bermula sebagai pegawai lantikan politik dalam kerajaan bapa mertuanya, Abdullah.

"Persamaan keduanya adalah Anwar dan Khairy berusia muda ketika dipecat.

“Kedua-duanya cergas dan berkebolehan."