- Iklan -
Berita

KKM kesan 2 varian Omicron dominan di China sejak Mac, Ogos 2022

Setakat 31 Disember lalu, terdapat 4,148 kes varian BA.5.2 dan tiga kes bagi varian BF.7 di Malaysia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail petugas kesihatan mengambil sampel swab bagi ujian saringan Covid-19.
Gambar fail petugas kesihatan mengambil sampel swab bagi ujian saringan Covid-19.

Dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80% daripada varian yang menular di China ketika ini, telah dikesan di Malaysia, masing-masing sejak 16 Mac dan 21 Ogos lepas. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama bagi BF.7 yang dikesan pada 21 Ogos merupakan kes jangkitan tempatan, manakala kes kedua pada 6 Sept (kes import jangkitan dari Turkiye), dan kes ketiga pada 7 Oktober merupakan kes jangkitan tempatan.

“Di peringkat global pula bagi varian BA.5.2, kemuncak penularan adalah sekitar bulan September-Oktober 2022 dengan kebanyakannya dikesan di negara seperti Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat. 

"Bagi varian BF.7 pula, kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemukan di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau. 

Semalam Dr Noor Hisham berkata setakat 31 Disember lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.