Anwar pecat lantikan politik GLC untuk buat lantikan baru, kata penganalisis
Penganalisis berkata sukar untuk menghapuskan sepenuhnya amalan pelantikan politik, dan individu yang dinamakan untuk menerajui GLC harus mempunyai sekurang-kurangnya kecekapan dan integriti.
Terkini
Pemecatan secara menyeluruh semua jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada awal bulan ini memberi bayangan jelas ianya bertujuan untuk memastikan pelantikan baru yang mempunyai kaitan dengan politik boleh dibuat, kata seorang penganalisis politik.
Keputusan untuk menamatkan perkhidmatan lantikan politik di badan berkanun, syarikat kementerian kewangan dan GLC dibuat pada mesyuarat Kabinet 14 Disember lalu, di mana Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata dalam taklimat pekeliling kepada ketua setiausaha kementerian bahawa arahan itu harus dilaksanakan segera.
Namun begitu, sejauh mana badan tersebut boleh diterajui oleh individu yang benar-benar bebas daripada pengaruh politik masih menjadi tanda tanya.
Ia susulan bekas langkah melantik semula bekas ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra dalam satu langkah yang didedahkan hanya sehari selepas pengumuman mengenai lantikan politik.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pada 21 Disember bahawa pelantikan semula Jazlan, yang pada mulanya diumumkan oleh timbalannya Ahmad Zahid Hamidi, telah ditangguhkan.
Beliau juga berkata terdapat kekeliruan berhubung kenyataannya mengenai pelantikan politik di GLC.
"Cuma ada kekeliruan, saya tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terlibat politik itu menjadi pengurusan, tetapi (sebaliknya) mesti terikat dengan syarat-syarat, dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan," katanya.
Beliau menambah bahawa beberapa ahli politik atau ahli Parlimen mungkin ditugaskan tetapi kerajaan akan menetapkan garis panduan pelantikan, dan meneliti prestasi sebelum ini dan pematuhan mereka terhadap amalan tata kelola dan tadbir urus yang baik.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata memadangkan Pakatan Harapan (PH) sudah lama memperjuangkan agenda pembaharuan dan membawa dasar-dasar yang progresif, ramai pihak mengharapkan supaya lantikan-lantikan politik di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih bersifat reformasi.
“Secara amnya, kurang rasuah,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditanya adakah pengaruh politik akan tamat sekiranya pelantikan jawatan-jawatan utama GLC bukan dalam kalangan ahli politik.
Boleh jadi, pemain industri tertentu yang mempunyai kelayakan dan pengalaman luas dilantik untuk jawatan tersebut.
Bagaimanapun, apakah jaminan yang mengatakan mereka tidak mempunyai kaitan dalam politik.
Sebagai contoh, para pemimpin parti komponen PH amat lantang tidak bersetuju sebarang lantikan individu kluster mahkamah menjadi sebahagian daripada ahli jemaah menteri.
Tetapi, pada minggu pertama pentadbirannya sebagai perdana menteri, Anwar melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya, sekaligus menjadi individu kedua terpenting dalam organisasi kerajaan pusat.
Meskipun Zahid belum terbukti bersalah, beliau kini sedang berdepan pembelaan diri ke atas 47 lagi tuduhan jenayah pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Mengulas mengenai hal itu, Oh menegaskan pelantikan politik adalah sesuatu yang baik dan boleh dijangka.
Tetapi, katanya, mereka yang dilantik mesti mempunyai sekurang-kurangnya tahap kecekapan, profesionalisme dan integriti untuk jawatan-jawatan tersebut.
“Jika anda lihat kembali kepada (jawatan dalam) 1MDB dan beberapa GLC lain, sudah pasti anda cenderung untuk hilang kepercayaan terhadap pelantikan politik oleh kerajaan terdahulu,” katanya.
Atas sebab itu, katanya, lantikan-lantikan baru yang bakal dibuat seharusnya memenuhi kriteria-kriteria penting bagi memastikan jawatan-jawatan itu dapat berfungsi dengan lebih efisien dan baik.
Bolehkan lantikan politik dihentikan?
Dalam pada itu, seorang penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berpandangan amalan melantik pemimpin atau individu yang mempunyai pengaruh politik daripada menjawat jawatan-jawatan utama badan kerajaan sukar dihentikan.
Ini kerana, katanya, ianya tidak menyalahi undang-undang dan Perlembagaan negara.
"Cuma pelantikan ini harus berdasarkan kelayakan akademik, berintegriti tinggi, mesra rakyat dalam memberikan perkhidmatan, mampu berprestasi dan memberikan impak yang lebih baik kepada agensi yang dianggotai," katanya kepada MalaysiaNow.
Tambahnya, setiap pemimpin parti yang menyertai kerajaan Anwar juga mahu menyumbang dengan lebih baik melalui penyertaan di pelbagai peringkat agensi kerajaan.
Misalnya, kata Azman, sesiapa yang tak dapat dilantik menjadi timbalan menteri berkemungkinan akan dilantik memegang jawatan seperti pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan seperti pengerusi Sime Darby, Felcra Berhad, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan sebagainya.
Bahkan, katanya jawatan-jawatan itu juga pernah dikuasai oleh pemimpin-pemimpin parti lain ketika mereka menerajui pentadbiran kerajaan pusat.
"Bagi satu pihak ia dianggap sebagai satu ganjaran politik manakala di sisi lain pula adalah untuk memastikan penyertaan parti politik dalam kerajaan dapat menyumbang secara lebih dekat dalam konteks pembentukan polisi, pelaksanaan dan pemantauan agensi yang dipegang."
Pada 9 Disember lalu, Anwar mengumumkan semua barisan Kabinet kerajaannya menyaksikan seramai 28 menteri dibantu 27 timbalan menteri yang mana jawatan tersebut diagihkan kepada parti PKR, Umno, DAP, Amanah, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gerakan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Upko dan seorang bukan ahli politik.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
