- Iklan -
Berita

Jangan benar 'parti tertentu' gambarkan Najib dibicara secara tidak adil, kata Majlis Peguam

Ia adalah susulan kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang menggesa parti itu terus mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pelbagai tuntutan termasuk ‘perbicaraan adil’ kepada Najib Razak.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan ketika tiba Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 23 Ogos di mana beliau gagal mengenepikan sabitan pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan ketika tiba Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 23 Ogos di mana beliau gagal mengenepikan sabitan pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Majlis Peguam memberi amaran terhadap sebarang usaha yang boleh menjejaskan proses kehakiman berikutan beberapa petanda yang menunjukkan pemimpin Umno terus mendesak supaya perbicaraan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara dibuka semula.

Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn berkata bekas perdana menteri itu sudah diberi semua ruang untuk membela diri melalui sistem perundangan.

"Kita tidak boleh biarkan keputusan muktamad badan kehakiman yang dibuat di Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022, dipersoal secara berterusan hanya untuk memenuhi agenda parti politik tertentu," katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau diminta menjawab gesaan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi supaya desakan dibuat terhadap kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya memulakan pendakwaan terhadap hakim Nazlan Ghazali, bekas hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan Najib dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, di mana keputusan itu dikekalkan oleh kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Najib mula menjalani hukumannya pada Ogos lalu, selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Peguam bekas perdana menteri itu kemudiannya menuduh hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan kerana beliau pernah terlibat dengan Maybank. 

Bagaimanapun, hujah itu ditolak oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim mendengar rayuan terakhir Najib.

Cheah berkata Majlis Peguam masih mengekalkan pandangannya sebelum ini bahawa ahli politik harus mengelak daripada mengulas perbicaraan tersebut, mengatakan ia boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang selain boleh dianggap menyerang badan kehakiman, selepas beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mengkritik Keputusan Mahkamah Persekutuan kerana tidak membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan.

"Kami mengambil pandangan bahawa ini adalah sebahagian daripada percubaan terakhir bagi menghentikan rayuan," katanya.

“Badan kehakiman sudah membuat keputusan muktamad dan kita harus menghormati keputusan itu. Sebarang cubaan parti politik untuk terus bersuara mengenainya dan mengubah naratif bahawa bekas PM itu tidak diberi perbicaraan yang adil, harus dihentikan segera."

Awal hari ini, Puad berkata Umno perlu terus mendesak supaya "perbicaraan adil“ disegerakan untuk Najib, selain menggesa hakim Nazlan didakwa.

Beliau turut mendesak suruhanjaya siasatan diraja dibuat bagi menyiasat bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Puad membayangkan desakan yang dibangkitkan beliau itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT Umno  pertama malam ini selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

Gesaan Puad itu dibuat beberapa jam selepas anak perempuan Najib, Nooryana mendakwa bahawa bapanya mungkin akan dibebaskan tidak lama lagi.

Merujuk kepada semakan kehakiman yang akan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan bulan depan, Nooryana meluahkan keyakinan bapanya akan dibebaskan.

"Kami masih mempunyai satu peluang terakhir. Kami tak hiraukan parut dan luka, kami akan bangkit semula.

"'All hands on deck' untuk memastikan DSN akan mendapat keadilan kali ini. Jika DSN menang pada bulan Januari, dia akan bebas untuk kembali kepada kami, insya Allah," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.