- Iklan -
Berita

Tindakan PH guna polis ‘sama macam BN’, kata pemimpin Bersatu

Dr Afif Bahardin berkata ancaman tindakan polis bertentangan dengan ikrar Pakatan Harapan untuk mempertahankan kebebasan bersuara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin. Gambar: Facebook
Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin. Gambar: Facebook

Pemimpin Bersatu Dr Afif Bahardin hari ini membidas Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil kerana menggesa polis bertindak terhadap calon Perikatan Nasional (PN) Azman Nasruddin bagi pilihan raya di kerusi Parlimen Padang Serai selepas beliau mengkritik kerajaan baru dengan menggelarnya sebagai "kerajaan zina" sewaktu berkempen.

Dalam sebuah kenyataan, Afif berkata, ancaman tindakan polis adalah bertentangan dengan ikrar Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kebebasan bersuara.

"Menggesa polis supaya siasatan dijalankan terhadap Azman adalah satu pelanggaran terang-terangan dakwaan PH yang mahu menjuarai sistem demokrasi," katanya.

"Tiada unsur jenayah berhubung apa yang diperkatakan oleh Azman. Ia adalah kritikan politik terhadap gabungan baru BN-PH dan ia adalah satu ulasan yang adil. Sebarang penggunaan kuasa polis untuk menyiasat pesaing politik PH atas kritikan politik adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa polis."

Azman dipanggil memberi keterangan lewat malam tadi selepas laporan polis dibuat terhadapnya.

Beliau kemudiannya mengaku sedikit ”kasar” ketika membuat kenyataan, namun menafikan kononnya beliau menghina Yang di-Pertuan Agong, di mana baginda dilaporkan mencadangkan sebuah “kerajaan perpaduan” dibentuk bagi mengatasi kemelut politik selepas keputusan pilihan raya umum 19 November lalu menunjukkan tiada gabungan berjaya memperolehi majoriti jelas bagi membentuk kerajaan baru.

Afif yang merupakan timbalan ketua Bersatu Shah Alam, turut menyifatkan tindakan PH yang menyeru siasatan polis dibuat terhadap Azman "sama seperti apa yang BN pernah lakukan ketika ia berkuasa dengan mengancam siasatan polis dibuat apabila mereka dikritik oleh ahli politik pembangkang".

"Sebaliknya, PN ketika berkuasa tidak pernah mengambil tindakan polis terhadap ahli politik PH yang berkali-kali menghina kerajaan dengan melabelnya sebagai kerajaan pintu belakang atau kerajaan gagal serta banyak lagi istilah yang dianggap menghina," katanya.

Beliau turut menggesa PH dan Fahmi menarik balik gesaan mereka supaya polis menyiasat Azman, mengatakan ia juga melanggar undang-undang pilihan raya kerana exco Kedah itu adalah salah seorang calon pilihan raya bagi kerusi Padang Serai.

“Fahmi tidak perlu campur tangan dalam proses pilihan raya dengan mengancam tindakan polis terhadap calon PN.

“Perkara ini adalah sama seperti melakukan paksaan dan intimidasi terhadap calon yang bertanding dalam pilihan raya,” katanya.