- Iklan -
Berita

Agong namakan Anwar sebagai PM ke-10, ingatkan supaya akhiri kemelut politik

Keputusan tersebut mengakhiri drama kemelut politik selepas pilihan raya umum 19 November lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menamakan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru, memesan supaya kemelut politik diakhiri kerana ia membebankan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan tersebut dibuat selepas Sultan Abdullah memperhalusi titah pandangan raja-raja Melayu yang bersidang di Istana Negara hari ini bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, kata beliau.

"Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada perdana menteri dan kerajaan baru yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

"Hakikatnya rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara."

lstiadat angkat sumpah Anwar sebagai perdana menteri akan berlangsung pada jam 5.00 petang di lstana Negara hari ini.

Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bersaing untuk mendapatkan sokongan berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan tiada satu pun pakatan mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendiri.

Pelbagai rundingan dan perbincangan dibuat antara pemimpin PH, PN dan Barisan Nasional (BN) sehingga berlanjutan selama lima hari, di mana tumpuan dihalakan kepada BN yang mempunyai 30 ahli Parlimen dan mempunyai percanggahan pandangan antara sesama mereka.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan tekanan untuk berundur berikutan kekalahan teruk gabungan itu, turut mendapat kecaman kerana surat yang dihantar ke istana menyatakan sokongan kesemua 30 ahli Parlimen terhadap Anwar.

Ahli Parlimen BN turut menuduh beliau membuat "keputusan tanpa berunding terlebih dahulu" selain didakwa telah memperdaya istana, namun Majlis Tertinggi Umno hari ini berkata ia akan menyokong cadangan kerajaan perpaduan yang tidak diterajui oleh  PN.