- Iklan -
Berita

Muhyiddin dapat sokongan GPS-GRS, yakin cukup sokongan bentuk kerajaan

Selain itu Muhyiddin berkata, beberapa ahli-ahli Parlimen memberikan komitmen sama.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddi. Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddi. Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin berkata, beberapa ahli-ahli Parlimen lain turut bersetuju untuk memberikan komitmen yang sama.

“Sebagai pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri ke-10 seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau bertemu dengan Pengerusi GPS Abang Johari Openg pagi tadi dan berbincang mengenai penubuhan kerajaan yang baru.

“Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan Hajiji Noor, pengerusi GRS yang juga telah menyatakan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai perdana menteri ke-10. “

GPS hari ini mengumumkan bersetuju untuk bergabung dengan PN, Barisan Nasional (BN) dan GRS untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusi GPS berkata, gabungan dipimpinnya juga turut bersetuju mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.