- Iklan -
Berita

Mampukah Khalid Samad pikat pengundi Melayu Titiwangsa?

Kejayaannya dalam memenangi pilihan raya sebelum ini dilihat kurang bergantung kepada jumlah undi daripada pengundi Melayu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Pakatan Harapan Khalid Samad berdiri bersama calon-calon lain di kerusi Parlimen Tititwangsa pada hari penamaan calon 5 November lalu. Gambar: Bernama
Calon Pakatan Harapan Khalid Samad berdiri bersama calon-calon lain di kerusi Parlimen Tititwangsa pada hari penamaan calon 5 November lalu. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen tiga penggal di Shah Alam, Khalid Samad dari Amanah tidak asing lagi dalam persaingan dalam merebut kerusi pada setiap pilihan raya.

Namun nasibnya masih belum pasti apabila dihantar merebut kerusi Titiwangsa bagi meraih undi di sekitar kawasan itu.

Sebelum ini, Khalid menyandang kerusi Parlimen Shah Alam bermula 2008 ketika beliau masih bersama PAS.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Khalid berjaya mempertahankan Shah Alam itu dengan majoriti undi 33,849 meskipun meninggalkan PAS dan menyertai Amanah.

Timbul persoalan sama ada Khalid mampu memikat pengundi Melayu di Titiwangsa memandangkan kejayaan beliau selama ini dipilih menjadi wakil rakyat tidak begitu bergantung kepada undi Melayu.

Bercakap dengan MalaysiaNow, penduduk TItiwangsa berkata ini kerana pengundi di Titiwangsa tetap menganggap Khalid sebagai "orang luar" meskipun bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu merupakan nama besar dalam dunia politik negara.

Terdapat juga persepsi kononnya Khalid dihantar bertanding ke Titiwangsa sebagai usaha "menyembelih" karier politik beliau, namun pengarah komunikasi Amanah itu menepis tanggapan tersebut dan menegaskan keputusan dibuat parti adalah berdasarkan potensinya yang baik.

Namun begitu, pengundi Titiwangsa Maranon Mohd Ali, 59, berkata perkara ini mungkin sukar untuk Khalid memandangkan penduduk di situ tetap akan menganggap beliau sebagai "orang luar".

Katanya, ditambah dengan prestasinya sebagai seorang menteri Kabinet yang disifatkan sebagai kurang memuaskan juga mungkin akan diterjemah menerusi undi warga Titiwangsa.

"Jika dia cemerlang di Shah Alam, tak mungkin Pakatan Harapan (PH) akan pindahkan dia ke sini," katanya kepada MalaysiaNow.

Tambah Maranon, majoriti penduduk Kampung Baru juga tidak memaafkan Khalid berhubung isu yang menjadi hangat ketika beliau menjadi menteri.

"Ayat-ayat dia mengguris hati tuan-tuan tanah, ini membuatkan penduduk benci dia," katanya.

Parlimen Titiwangsa akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Khalid yang mewakili PH, Johari Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN), Rosni Adam dari Perikatan Nasional (PN) dan Khairuddin Abu Hassan (Pejuang.

Sementara itu, seorang lagi pengundi Titiwangsa Dzulafian Idris, 48, menjangkakan persaingan sengit antara Khalid dan Johari memandangkan kedua-dua individu terbabit merupakan nama besar dalam politik negara.

Katanya, Johari bagaimanapun dilihat mempunyai kelebihan memandangkan beliau merupakan anak jati Kampung Baru.

"Tetapi ini adalah adat pertandingan," katanya.

"Walaupun bukan berasal dari sini, kita amalkan demokrasi, jadi tak salah jika nak bertanding di sini."

Bagi Dewi Murni, 45, keputusan PRU14 yang menyaksikan Johari tewas kepada Ketua Srikandi Bersatu, Rina Harun disifatkan sebagai satu kejutan besar, namun dia merasakan fenomena "tsunami" undi ke PH mungkin tidak akan berulang kali ini.

Rina kini dicalonkan untuk bertanding di Sepang dan Bersatu kini bersama PN.

"Saya pun tidak pasti sama ada majoriti pengundi tolak atau terima Khalid.

"Tetapi lebih baik jika dapat wakil rakyat yang berasal dari kawasan ini, kerana individu seperti ini lebih memahami masalah penduduk" tambahnya.