- Iklan -
Berita

Ismail yakin BN dapat bentuk kerajaan dengan kerjasama GPS

Perdana menteri berkata Barisan Nasional mempunyai sejarah panjang dengan parti-parti komponen GPS.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bermesra dengan pengundi dalam sebuah acara di Selangau, Sarawak hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bermesra dengan pengundi dalam sebuah acara di Selangau, Sarawak hari ini. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mendapat kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya walaupun GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak bersama BN, namun kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang.

“Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak hari ini.

Beliau berkata ahli Parlimen GPS telah menunjukkan kesediaan mereka untuk tetap bersama dengan ahli Parlimen BN sewaktu menjadi pembangkang selepas PRU14 dan menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.

“Waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita. Dia tak sertai kerajaan PH semasa itu. Maknanya kita tetap bersama. Bila kita bentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita, pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.