- Iklan -
Berita

Walau dinafikan, Muhyiddin ulangi dakwaan kerjasama PH-BN selepas PRU15

Bekas perdana menteri itu berkata BN tiada pilihan lain selain bentuk persefahaman dalam menubuhkan kerajaan campuran selepas menolak Perikatan Nasional.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap dalam ceramah kempen di Indera Mahkota, Pahang malam tadi. Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap dalam ceramah kempen di Indera Mahkota, Pahang malam tadi. Gambar: Facebook

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi bakal membentuk kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dikeluarkan selepas Anwar yang juga presiden PKR menafikan dakwaan tersebut dalam salah satu ceramah kempen PRU15 baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, Umno yang merupakan tunjang kepada BN tidak mempunyai pilihan selepas menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu dan PN sekiranya tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

"Zahid pun kata dah bersedia bentuk jajaran dengan mana-mana parti politik yang bekerjasama dengan Umno.

"Tapi dia dah tolak Bersatu dalam perhimpunan agung Umno. Jadi kalau dia tolak PN, siapa pilihan dia agaknya? Pakatan Harapan?” katanya ketika berucap pada ceramah di Indera Mahkota, Pahang malam tadi.

Sebelum ini  Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengerusi Pejuang turut menyatakan perkara yang sama berhubung kerjasama Anwar dan Zahid. 

Zahid yang mempertahankan kerusi Bagan Datuk itu sebelum ini secara terbuka mengatakan BN tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan parti-parti lain selepas PRU15 bagi memastikan kestabilan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula berkata kerjasama dengan gabungan lain tidak ditentukan oleh individu tetapi harus diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN.

Akan tetapi Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini berkata beliau akan menjadi orang pertama menentang kerjasama dengan Umno. 

Menurut Muhyiddin, beliau mendapat “cerita sahih” mengenai persefahaman kedua-dua pemimpin itu. 

"Dia tahu Umno tak dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan sendiri, maka dia akan ambil langkah untuk bergabung dengan Pakatan Harapan,” katanya. 

Sebelum ini MalaysiaNow pernah mendedahkan rakaman audio perbualan Anwar dan Zahid selepas Perhimpunan Agung Umno di mana kedua-dua pemimpin itu berbincang untuk menggulingkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Rata-rata penganalisis menjangkakan, tiada gabungan yang dapat membentuk kerajaan dengan secara solo selepas PRU15 menyebabkan pembentukan kerajaan campuran tidak dapat dielakkan. 

PRU15 akan berlangsung pada 19 November ini setelah Parlimen dibubarkan pada Oktober lepas.