- Iklan -
Berita

Zahid: Ismail masih calon PM BN, namun...

Presiden Umno sekali lagi mengulangi kenyataan mengenai pencalonan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri BN, namun kali ini ada pengecualian.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi ketika acara pengumuman calon gabungan itu baru-baru ini.
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi ketika acara pengumuman calon gabungan itu baru-baru ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon perdana menteri Barisan Nasional (BN) namun berkata Agong mempunyai hak mutlak untuk memilih ketua kerajaan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Zahid juga menegaskan Ismail masih menjadi "poster boy” BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun terdapat dakwaan cubaan supaya beliau yang diangkat, mengatakan semua pihak perlu menghormati keputusan melalui ”budi bicara" Agong berdasarkan Artikel 43 Perlembagaan, lapor The Malay Mail.

“Jadi isu ini tidak harus dibincangkan kerana proses memilih perdana menteri bukan sahaja terletak di tangan mana-mana parti politik tetapi juga Agong,” katanya dipetik sebagai berkata dalam sidang media di Bagan Datuk.

Sebelum ini, Ismail berkata tiada perubahan mengenai calon perdana menteri sekiranya BN memenangi pilihan raya pada 19 November.

"Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) sudah putuskan selagi perkara itu tidak di ‘reversed’ dalam mesyuarat. 

“Keputusan itu kalau nak ubah mesti dalam MT, mesti diubah dalam PAU," kata Ismail.

Bagaimanapun, pada 1 November lalu, MalaysiaNow melaporkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata bahawa calon BN untuk pilihan raya perlu menandatangani akuan sumpah berkanun (SD).

"Saya tak tahu SD itu mengenai apa. Kemungkinan menyokong Zahid Hamidi menjadi perdana menteri.

"Atau mungkin SD itu mahu mereka mengikut dan taat apa sahaja arahan beliau," kata Zahidi yang merupakan  salah seorang pemimpin Umno yang digugurkan sebagai calon BN.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah membabitkan puluhan juta dana badan amal Yayasan Akalbudi.