- Iklan -
Berita

Bercanggah dengan Anwar berhubung masalah hilang suara, PKR gugur Sivarasa pada saat akhir

Pemimpin veteran PKR itu berkata beliau berbeza pendapat dengan presidennya, Anwar Ibrahim mengenai kemampuannya menyertai kempen PRU berikutan masalah peti suaranya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa. Gambar: Facebook
Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa. Gambar: Facebook

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah mendedahkan bahawa PKR mengekalkan namanya untuk mempertahankan kawasan dimenanginya, namun disingkirkan pada hari pengumuman 72 calon Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan 19 November depan.

Sivarasa, yang dianggap bukan orang Anwar Ibrahim ketika parti itu berdepan perpecahan dalaman pada 2020, turut berkata beliau sudah menjelaskan kepada presiden PKR itu bahawa beliau mampu menjalankan gerak kerja kempen mempertahankan kawasan yang dimenanginya pada 2018.

Beliau berkata Anwar turut membangkitkan kebimbangan mengenai masalah peti suaranya, di mana Sivarasa perlu menggunakan bantuan alat penguat suara.

"Saya mempunyai pandangan berbeza dan menjelaskan bahawa saya akan menguruskan kempen dengan cara lain mengambil kira keadaan suara saya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata namanya dikekalkan sebagai calon di Sungai Buloh "sehingga pagi Jumaat lalu", pada 28 Oktober.

“Kira-kira jam 5 petang pada hari tersebut, saya menerima mesej dari DSAI (Anwar), mengatakan selepas perbincangan lanjut, beliau memutuskan bahawa saya tidak akan dicalonkon.

"DSAI cuba menghubungi sejurus sebelum teks itu dihantar namun saya tidak boleh menjawab panggilannya,” katanya.

Bagi menggantikan Sivarasa, PKR meletakkan bekas ahli MIC Ramanan Ramakrishnan di Sungai Buloh, di mana beliau akan menentang calon Umno Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, selepas diarahkan untuk mengosongkan kerusi Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Sivarasa berkata beliau menerima keputusan tersebut dan menambah keputusan Umno meletakkan Khairy sudah diketahui parti sebelum itu.

Sumber dalaman PKR memberitahu MalaysiaNow bahawa mereka mahu pertembungan antara "dua bekas sarjana Oxford" berlaku di Sungai Buloh.

Khairy merupakan graduan falsafah politik di Oxford manakala Sivarasa pula adalah graduan undang-undang di universiti sama dengan biasiswa Rhodes selepas mendapat ijazah pertama di Universiti Malaya.

Sejak PKR mengumumkan Ramanan bakal bertanding di Sungai Buloh, wujud tekanan terhadap pengarah pilihan rayanya, Rafizi Ramli bagi menggantikannya dengan nama yang “lebih sesuai" untuk melawan Khairy.

Semasa pemilihan PKR pada 2020, Ramanan tewas kepada Sivarasa bagi jawatan ketua cabang Sungai Buloh.

“Lagipun, Ramanan baru sertai PKR pada 2020, sedangkan Sivarasa terus setia bersama PKR sejak dua dekad lalu,” kata calon PKR yang akan mengekalkan kerusinya pada pilihan raya akan datang kepada MalaysiaNow.

Pada Rabu, Rafizi berkata beliau akan berbincang dengan Anwar sama ada parti itu akan menamakan calon lain di Sungai Buloh.