- Iklan -
Berita

Anak Najib antara 25 calon baru BN di DUN Pahang

Mohamad Nizar akan bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Barisan Nasional di DUN Peramu Jaya Mohamad Nizar. Gambar: Facebook
Calon Barisan Nasional di DUN Peramu Jaya Mohamad Nizar. Gambar: Facebook

Anak sulung bekas perdana menteri Najib Razak, Mohamad Nizar sah akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas beliau diumumkan sebagai antara 25 calon muka baru Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang. 

Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Nizar yang merupakan ketua Pemuda Umno Pekan sebagai calon DUN Peramu Jaya, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan. 

Penyandang DUN Peramu Jaya, Sh Mohmed Puzi Sh Ali pula diumumkan sebagai calon BN untuk Parlimen Pekan, yang sebelum ini disandang Najib. 

Turut menjadi calon muka baru BN ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang Fadzli Mohamad Kamal yang akan bertanding di DUN Dong.

Pengumuman calon BN DUN Pahang hari ini, turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang telah diumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004. 

Selain itu, Wan Rosdy berkata calon baru di DUN Pahang ialah Wong Yah Wah (Tanah Rata), Lim Teck Hoe (Tras), Faezah Ishak (Tahan), Muhammad Fasal Jamlus (Damak), Mustaffar Kamal (Beserah), Khairul Hisham Omar (Semambu), Tee Choon Ser (Teruntum), Nara @ Nikmat Nordin (Tanjung Lumpur) dan Umar Arbain Dollah (Sungai Lembing).

Turut kali pertama dicalonkan ialah Fauziah Abd Wahab (Panching), Jamaluddin Md Marzuki (Luit), Mohd Khairudin Mohd Ali Hanafiah (Kuala Sentul), Saiful Anuar Mokhtar (Chenor), Rodzuan Zaaba (Jenderak), Ramzi Sudin (Lanchang) serta Wong Siew Mun (Bilut).

Calon baru lain ialah Amizar Abu Adam (Ketari), Johari Harun (Pelangai), Sabariah Saidin (Guai), Yee Cheng Hwa (Triang), Khaizulnizam Mohamad Zuldin (Kemayan), Norhasmimi Abdul Ghani (Jengka) dan Wong Tze Shiang (Mentakab).

Daripada 42 DUN di Pahang, Umno setakat ini akan bertanding di 34 kerusi, MCA enam kerusi manakala calon bagi dua DUN iaitu Cheka dan Sabai tidak diumumkan pada pengumuman hari ini. 

Berdasarkan pengumuman calon, seorang exco negeri digugurkan iaitu Norolazali Sulaiman yang merupakan penyandang DUN Guai.

Dua lagi exco iaitu Mohd Sharkar Shamsuddin yang merupakan penyandang DUN Lanchang telah diumumkan akan bertanding di Parlimen Temerloh manakala Shahaniza Shamsuddin ke Parlimen Maran selepas tiga penggal di DUN Kuala Sentul.  

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi