- Iklan -
Berita

Warisan pertaruh 2 nama besar di KL

Langkah meletakkan bekas ahli Parlimen mungkin boleh menjejaskan sokongan bukan Melayu terhadap PH.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Presiden MCA Ong Tee Keat dan bekas pemimpin DAP Wee Choo Keong.
Bekas Presiden MCA Ong Tee Keat dan bekas pemimpin DAP Wee Choo Keong.

Warisan akan meletakkan dua bekas ahli Parlimen sebagai calonnya di kerusi Parlimen Pandan dan Wangsa Maju, di mana ia dilihat boleh memecahkan undi dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Parti yang berpangkalan di Sabah itu mengumumkan bekas presiden MCA Ong Tee Keat akan bertanding di Pandan bertembung dengan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang sedang berusaha untuk kembali ke Parlimen.

Sementara itu, bekas ahli DAP Wee Choo Keong akan kembali ke Wangsa Maju, kerusi yang dirampasnya dari Barisan Nasional pada 2008.

Ong adalah presiden MCA sebelum beliau dikalahkan pada 2010 oleh Chua Soi Lek, menyebabkan beliau kehilangan jawatan menteri Kabinet.

Pada 2013, disebabkan pertengkarannya dengan kepimpinan MCA, Ong tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi Pandan di mana beliau pernah menjadi penyandangnya selama dua penggal.

Kerusi itu dimenangi oleh Rafizi, dan kemudian diambil alih oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 2018.

Wee pernah menjadi pemimpin kanan DAP mewakili kerusi Bukit Bintang sebelum jatuh dari tampuk kepimpinan parti itu.

Pada 2008, beliau bertanding di bawah tiket PKR dan menewaskan penyandang MCA dengan majoriti sebanyak 150 undi.

Wee berkata beliau bertanding di bawah tiket Warisan kerana Presidennya, Shafie Apdal, yang disifatkan sebagai seorang “pemimpin nasional yang baik dan mempunyai rekod perkhidmatan yang sudah terbukti selama 35 tahun”.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar PH, mengatakan gabungan itu tidak konsisten sebagai pembangkang apabila menandatangani persefahaman dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Apa yang penting, kita berikan alternatif kepada rakyat pada PRU15. 

“Kita tidak perlukan pembangkang yang tandatangan MoU dan terima RM3.7 juta dalam akaun mereka,” katanya, merujuk peruntukan yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen PH.
 Beliau turut menuduh PH bersikap talam dua muka dengan penyokongnya apabila mereka bersetuju menyokong rang undang-undang kerajaan termasuk bajet.

“Sedangkan di luar Parlimen, mereka akan kata kerajaan ini gagal. 

“Ia adalah persoalan cakap lain tapi buat lain," katanya kepada MalaysiaNow.