- Iklan -
Berita

Peruntukan bajet pemasaran tak cukup, kata pengusaha hotel

Walaupun jumlah peruntukan RM1.16 bilion dapat membantu meningkatkan industri pelancongan, namun banyak perkara perlu diteliti lagi.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja menyiram pokok di sekitar bangunan pusat bandar Melaka ketika pandemik Covid-19 tahun lalu.
Seorang pekerja menyiram pokok di sekitar bangunan pusat bandar Melaka ketika pandemik Covid-19 tahun lalu.

Pemain industri perhotelan mengalu-alukan peruntukan RM1.16 bilion dalam bajet tahun depan bagi pembangunan industri pelancongan namun mempersoalkan sejumlah peruntukan yang dikhususkan untuk inisiatif pemasaran dan insentif, mengatakan jumlah yang diperuntukkan mungkin tidak mencukupi bagi meningkatkan pelancongan tempatan selepas pandemik Covid-19.

Ketika pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Zaful Aziz mengumumkan RM200 juta meliputi insentif, promosi dan inisiatif pemasaran bagi mengukuhkan pemulihan sektor pelancongan.

Kerajaan juga menyasarkan lebih 15 juta ketibaan pelancong asing ke dalam negara, dengan unjuran pendapatan sebanyak RM47.6 bilion.

Bagaimanapun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata peruntukan bagi bantuan pemasaran tersebut 0.5% lebih rendah daripada hasil yang dijangkakan.

"Walaupun kita lihat jumlah ketibaan pelancong meningkat, setakat Julai 2022, Malaysia hanya mencatatkan 3.2 juta ketibaan pelancong dengan hasil pelancongan sebanyak RM9.4 bilion bagi tahun 2022," kata Presiden MAH Christina Toh.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata jumlah tersebut sangat berbeza jika dibandingkan sebelum pandemik sebanyak 26 juta ketibaan pelancong dengan hasil RM86.1 bilion dan perubahan dalam hasil yang dilihat pada 2019, setahun sebelum Covid-19.

Beliau menyuarakan harapan supaya kerajaan mempertimbangkan beberapa cadangan untuk menyokong usaha pemulihan sektor hotel, seperti diskaun untuk bil air dan elektrik, dan menetapkan peraturan bagi perkhidmatan perkongsian rumah seperti Airbnb.

"Ini akan menyediakan padang yang sama rata untuk semua pemain industri," katanya.

Toh juga menggesa kerajaan melanjutkan pelepasan cukai peribadi bagi perjalanan domestik pada tahun hadapan, dan memberikan diskaun dalam kadar taksiran dan cukai tanah.

Setakat 2020, lebih 3.46 juta pekerja industri pelancongan menjadi golongan yang paling teruk terjejas akibat kawalan pergerakan dan sekatan sempadan yang dikenakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam Bajet 2023, kerajaan mengumumkan beberapa bantuan lain termasuk RM25 juta sebagai insentif untuk menggalakkan perjalanan domestik.

Insentif itu termasuk pelbagai bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraftangan dan karya seni.

Namun, menurut Fathir Badri, presiden Persatuan Solidariti Agensi Pengembaraan & Pelancongan Malaysia, jumlah keseluruhan RM1.16 bilion itu akan membantu industri pelancongan tempatan selain dapat memulihkan kedudukannya.

Beliau berkata insentif RM25 juta yang disalurkan terus kepada rakyat akan mempercepatkan perniagaan pelancongan domestik.

Walaupun memuji peruntukan RM90 juta melalui geran Galakan Melancong Malaysia, namun Fathir mencadangkan agar kerajaan meneliti isu kekurangan sumber tenaga kerja – satu masalah yang masih dihadapi banyak sektor ekonomi.

"Hotel tidak dapat dibuka semula sepenuhnya, begitu juga dengan agensi pelancongan yang menghadapi masalah mencari pekerja," katanya.

Fathir turut tidak bersetuju dengan pengurusan RM500 juta pembiayaan kewangan pelancongan Bank Negara Malaysia dibuat oleh bank lain, mengatakan ia tidak akan membantu pemain industri.

Sebaliknya, beliau berkata dana sedemikian harus diuruskan oleh kementerian pelancongan sendiri, yang mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai keperluan industri.