- Iklan -
Berita

Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

Penarikan darjah kebesaran tersebut adalah berikutan sabitan dan hukuman kes rasuah melibatkan puluhan juta ringgit.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor melambaikan tangan pada hari penamaan calon kerusi Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor melambaikan tangan pada hari penamaan calon kerusi Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah hari ini mengumumkan darjah kebesaran bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor ditarik balik berikutan sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International dan kes rasuah projek solar hibrid berkuat kuasa serta-merta.

Dalam sebuah kenyataan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Haris Bin Kasim berkata dengan penarikan darjah kebesaran tersebut, gelaran Datuk Seri dan Datin Paduka Seri yang dibatalkan pada masa yang sama.

Najib dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang pada 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua pada 1992.

Sementara Rosmah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama pada 2005.

“Penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawa Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan Selangor,” kata kenyataan tersebut.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan puluhan juta dana SRC International.

Sementara Rosmah disabitkan bersalah dan dihukum 10 tahun penjara dan dan denda sebanyak RM970 juta bagi kes rasuah solar hibrid pada 1 September lalu.

Hukumannya ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.