- Iklan -
Berita

Pengurus kewangan syarikat antara direman berhubung rasuah RM10 juta projek pengangkutan awam

Seorang lagi suspek yang ditahan merupakan ketua pemasaran syarikat yang sama.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dua suspek ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi siasatan berhubung rasuah RM10 juta.
Dua suspek ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi siasatan berhubung rasuah RM10 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu bagi membantu siasatan berhubung urusan pengambilalihan kerja melibatkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam membabitkan rasuah sebanyak lebih RM10 juta. 

Hakim Mahkamah Majistret Putrajaya Izra Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 September 2022.

Permohonan reman terhadap suspek wanita dan lelaki yang masing-masing berusia awal 40-an tersebut dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber SPRM, suspek berusia 40-an tersebut merupakan pengurus kewangan sebuah syarikat dipercayai melakukan pembayaran rasuah berjumlah lebih RM10 juta bagi memudahkan urusan dan kelulusan pengambilalihan kerja melibatkan projek berkenaan daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.

Suspek dipercayai melakukan pembayaran tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat.   

Seorang lagi suspek lelaki yang merupakan ketua bahagian pemasaran syarikat yang sama pula, disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti berbeza yang disyaki palsu.

Kedua-dua suspek ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.