- Iklan -
Berita

Penjara bukan pengakhiran bagi banduan

Hukuman alternatif seperti parol juga turut dilaksanakan, manakala bengkel dan program pemulihan tetap diteruskan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Banduan berkongsi pandangan dalam sebuah sesi bersama warden di Penjara Kajang.
Banduan berkongsi pandangan dalam sebuah sesi bersama warden di Penjara Kajang.

Di kebanyakan negara maju, kerajaan berusaha mengurangkan operasi penjara mereka dan bilangan banduan dengan memperkenalkan hukuman alternatif dan meningkatkan usaha pencegahan jenayah sejak usia muda.

Bagaimanapun di Malaysia, trend menunjukkan sebaliknya.

Pada 2022, jumlah banduan yang ditempatkan di semua penjara seluruh negara melebihi kapasiti yang ditetapkan dengan 62,000 orang. 

Ketika ini, terdapat kira-kira 70,000 banduan di 50 pusat tahanan banduan termasuk penjara satelit. 

Daripada jumlah itu, 27 penjara didirikan seluruh negara iaitu 18 di Semenanjung Malaysia dan 9 lagi di Sabah dan Sarawak. 

Sejak 2016, dilaporkan kerajaan merancang untuk membina lebih banyak penjara baru di seluruh negara.

Setiap tahun, Malaysia membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun kepada Jabatan Penjara. 

Sedangkan, jabatan itu sendiri bertegas bahawa penjara bukanlah penamat bagi mereka yang diperintahkan untuk menjalani hukuman di balik jeriji besi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Bahagian Dasar Kepenjaraan (BDK) Jabatan Penjara memberitahu institusi itu juga turut menjalankan beberapa hukuman alternatif mengikut jenis-jenis kesalahan sejak tahun 2008 dengan memperkenalkan sistem parol. 

Sistem parol yang dibuat oleh Jabatan Penjara turut dilaksanakan di beberapa buah seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat. 

Sistem parol adalah pelepasan secara Perintah Parol, yang mana penghuni yang layak boleh memohon dilepaskan bagi menjalani baki hukuman di luar penjara. 

Pelepasan itu berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol dan ia merupakan kesinambungan kepada program pemulihan dalam penjara iaitu Program Pembangunan Insan (PPI) yang mana 90% banduan perlu mengikuti program tersebut. 

Kata Timbalan Pengarah BDK Kausalya Devi Sathoo sistem parol dilaksanakan melalui pindaan Akta Penjara 1995 pada tahun 2008 yang dikuatkuasakan pada 30 Jun 2008. 

"Kesalahan seperti mencuri, pecah rumah boleh dimohon untuk diparol. 

“Manakala kesalahan-kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Keempat Akta Penjara seperti merogol, liwat, hukuman mati dan sebagainya adalah tidak boleh diparol," katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow di ibu pejabat penjara di Kajang di mana MalaysiaNow diberi akses ekslusif di premis penjara.  

Katanya, pelaksanaan dan pembentukan hukuman alternatif berada di luar bidang Jabatan Penjara.  

Sehubungan itu, pihaknya tidak pernah berhenti untuk bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji pelaksanaan hukuman alternatif. 

Menurutnya, hukuman penjara bukan satu-satunya hukuman kerana di bawah jabatan itu terdapat beberapa institusi lain untuk membantu pesalah memulihkan diri dan akhlak. 

Ini termasuk sekolah pemulihan seperti Sekolah Henry Gurney, pusat pemulihan akhlak, tempat tahanan khas di bawah kesalahan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan pejabat-pejabat parol daerah. 

Antara lain, terdapat juga penangguhan hukuman di mana pesalah tidak akan berada di penjara sebagai banduan. 

"Sekarang, kurang fasiliti dalam penjara sebab yang betul-betul perlu masuk penjara sahaja yang kena masuk. 

"Contohnya cuai dalam menjaga anak, ibu kena masuk penjara. Bukankah itu menyusahkan mereka? Mungkin akan diadakan sesi kaunseling sahaja." 

Benarkah banduan mewah di penjara? 

Tahun lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM630,480 sebulan dan dalam masa setahun hampir RM230 juta untuk kos makanan penghuni penjara di Malaysia tidak termasuk perbelajaan lain di Jabatan Penjara. 

Manakala Belanjawan 2020 memperuntukkan RM16.9bilion kepada KDN dengan RM20 juta diperuntukkan khas kepada usaha mengembangkan latihan kemahiran dan program banduan. 

Satu perbandingan lebih 10 kali ganda untuk kos makanan berbanding penyediaan program dan kemahiran banduan. 

Bercerita mengenai hal ini, Kausalya berkata pihak penjara sememangnya memerlukan peruntukan yang tinggi untuk bayaran kos kelas pemulihan, bengkel kemahiran dan persiapan industri untuk pemulihan banduan. 

Katanya, semua peruntukan yang disalurkan kepada institusi itu bukan semata-mata untuk makanan. 

"Mereka pun bukan mewah, hanya diberi air dan roti. Takkan tak boleh beri mereka ini makan? 

"Kos rawatan juga kita berikan, jangan terkejut ada penghuni yang pertama kali jumpa doktor bila mereka masuk penjara," katanya sambil menambah kos catuan makanan dianggarkan sebanyak RM12-RM15 sehari. 

Tambahnya, bagi memastikan hukuman penjara mampu membuahkan hasil sudah pasti memerlukan pelaburan modal insan. 

Analogi mudah, kata Kausalya, jika individu merasakan pendidikan anak-anak sebagai sesuatu yang membazir, jadi tiadalah hasil. 

"Begitu juga banduan di penjara, jika tiada pendidikan dan pelaburan modal insan. 

"Cuba lepaskan (banduan), apa akan jadi?"