- Iklan -
Berita

Selepas kenyataan Azalina berhubung peguam negara, Umno berpihak kepada Najib

Penganalisis berkata pendirian 'pro-Najib' yang diambil Umno akan menyebabkannya kehilangan undi golongan atas pagar yang mungkin mempertimbangkan untuk menyokong kumpulan reformis dalam Umno.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Menara Dato Onn di Kuala Lumpur selepas pertemuan antara ahli Parlimen Umno di ibu pejabat parti itu pada 26 Oktober 2020.
Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Menara Dato Onn di Kuala Lumpur selepas pertemuan antara ahli Parlimen Umno di ibu pejabat parti itu pada 26 Oktober 2020.

Seorang penganalisis politik berpandangan kenyataan Azalina Othman Said baru-baru ini mengenai penggantian peguam negara menjadi petanda bahawa Umno telah memilih untuk berpihak kepada bekas presidennya, Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyelewengkan puluhan juta dana SRC International.

Oh Ei Sun, dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Umno mungkin berharap untuk mengumpulkan sokongan besar terhadap Najib dalam parti itu.

Menurutnya, jika Azalina mahu menjadi sebahagian aliran utama dalam Umno, ahli Parlimen Pengerang itu perlu mengeluarkan kenyataan berhubung perundangan yang memihak kepada Najib.

Bagaimanapun, pendirian "pro Najib" yang diambil oleh parti itu bermakna ia "secara rasmi mengucapkan selamat tinggal” kepada pengundi atas pagar yang mungkin mempertimbangkan untuk menyokong “reformis dalam Umno".

Hujung minggu lalu, Azalina berucap di hadapan pemimpin bahagian Umno, menggesa Ismail Sabri Yaakob menggantikan peguam negara, kerana jawatannya sebagai perdana menteri membolehkan beliau untuk berbuat demikian.

"Siapa jadi perdana menteri, dia mesti jadikan peguam negara orang dia,” katanya dalam majlis taklimat khas Umno di mana beberapa pemberi ucapan bergilir mengecam keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menghantar Najib  ke penjara selepas gagal dalam rayuannya.

Azalina, yang meletak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat ketika negara berdepan kelompongan kuasa tahun lepas, adalah antara ahli Parlimen Umno yang sehaluan dengan Najib di mana mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin, menyebabkan beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Kenyataan Azalina berhubung peguam negara itu menerima kecaman ramai, termasuk Ngeh Koo Ham dari DAP tahun lalu mempertahankan beliau selepas usaha Umno melantiknya sebagai speaker Dewan Rakyat gagal.

Pada 29 Ogos, Ngeh dalam satu kenyataan menggesa Azalina meletakkan jawatan sebagai penasihat khas perdana menteri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia, kerana dia tidak layak untuk jawatan itu.

"Jika dilihat pada konteks gesaan (Azalina) itu, beliau berkata PM perlu melantik seorang peguam negara yang akan bertindak mengikut telunjuk PM, termasuk menyalahgunakan kuasa peguam negara yang bertindak sebagai pendakwa raya untuk menarik balik pertuduhan terhadap mereka yang melakukan rasuah dan mereka yang menyalahgunakan kuasa, terutamanya pemimpin Umno," katanya.

Azalina kemudiannya mengemukakan peletakan jawatannya dalam sebuah surat bertarikh hari yang sama, memberikan notis sebulan kepada Ismail.

Dalam pada itu, penganalisis politik Wong Chin Huat berkata seorang peguam negara berperanan sebagai penasihat undang-undang dan pendakwa raya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata perdana menteri perlu mempunyai penasihat undang-undang sendiri.

"Ia boleh jadi ahli Parlimen, malahan boleh jadi menteri Kabinet," katanya.

"Azalina boleh jadi betul jika dia bercakap atas kapasiti sebagai penasihat. Namun dalam konteks perhimpunan Umno hari itu, ia hanya memberi maksud ucapannya itu mewakili dirinya (sebagai ahli Parlimen).”

Wong menambah pertukaran peguam negara bermakna menukar pendakwa raya, dan perkara itulah yang menjadi punca kebimbangan orang ramai berhubung kenyataannya.

Memetik pembebasan berprofil tinggi oleh Jabatan Peguam Negara termasuk terhadap bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan bekas ketua perisikan Hasanah Ab Hamid, Wong yang bertugas di Universiti Sunway itu berkata: "Seorang peguam negara baru yang bertindak mengikut kehendak Umno mungkin akan menggugurkan kesemua pertuduhan terhadap Najib dalam empat kesnya yang masih berbaki,"

Najib disabitkan pada 28 Julai 2020 atas tuduhan jenayah salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkait RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. 

Sabitan dan hukumannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, dan dikekalkan sekali lagi oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Penganalisis berkata selepas beliau dihantar ke penjara, Umno mungkin dilihat sebagai parti yang mengamalkan rasuah memandangkan Najib telah disabitkan bersalah di mahkamah buat kali ketiga. 

Namun, mereka juga berkata Umno mungkin menarik lebih banyak sokongan daripada mereka yang memandang keputusan terhadap Najib itu sebagai bukti bahawa parti ia berusaha sebaik mungkin untuk membanteras rasuah.

Wong berkata pemimpin Umno seperti Ismail dan timbalan presiden Mohamad Hasan telah berjanji atau menggesa pembaharuan dalam Jabatan Peguam Negara, termasuk memisahkan peranan penasihat undang-undang kerajaan dan pendakwa raya.

"Ini boleh berlaku dan perlu dilaksanakan sebelum PRU15, jika Parlimen dapat menamatkan penggal sehingga 15 Julai 2023," katanya.

Beliau menambah keputusan Mahkamah Persekutuan telah memberi Umno peluang untuk bangkit daripada pengalaman pahit selepas dicemari skandal mega di bawah kepimpinan Najib.

“Umno harus merebut peluang ini untuk menampilkan diri sebagai parti rasional yang lebih sayangkan negara berbanding pemimpinnya,” katanya.