- Iklan -
Berita

Polis siasat Hadi berhubung kenyataan berbaur perkauman

Setakat ini sebanyak 28 laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM A Skandaguru berkata Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan terhadap Abdul Hadi dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan setakat ini sebanyak 28 laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Polis juga menyeru orang ramai untuk lebih prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.