- Iklan -
Berita

Rayuan LHDN berhubung cukai pendapatan anak perempuan Najib didengar 5 Oktober

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Julai bagi pengurusan kes Najib dan anak lelakinya, Nazifuddin terhadap rayuan penghakiman terus berhubung cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Malaysia berkibar di Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Gambar: Bernama
Bendera Malaysia berkibar di Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Oktober untuk mendengar rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi penghakiman terus terhadap anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana Najwa mengenai dakwaan cukai pendapatan yang tidak dibayar.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nooryana, apabila dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran itu berikutan pengurusan kes yang diadakan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin pada 6 Julai. 

Pada 26 Ogos 2020, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Faizah Jamaludin menolak permohonan LHDN untuk penghakiman terus dalam samannya, yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta daripada Nooryana.

Pada 24 Julai 2019, kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan menerusi LHDN, menamakan Nooryana, selaku defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Julai ini untuk satu lagi pengurusan kes Najib dan anak lelakinya, Nazifuddin terhadap rayuan penghakiman terus yang dibuat terhadap mereka berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Kedua-duanya diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan pada Mei tahun ini atas sembilan persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Wee yang juga mewakili Najib dan Nazifuddin mengesahkan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Norhafizah Zainal Abidin hari ini.

Dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta dari Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September tahun lepas untuk mengenepikan penghakiman terus itu.