- Iklan -
Berita

Ahli politik Umno, BN gagal dalam rayuan ketepi notis kompaun SPRM

Hakim berkata permohonan mereka tidak memenuhi peruntukan Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

31 individu termasuk Menteri Besar Perak Saarani Mohamad hari ini gagal dalam usaha mencabar notis kompaun dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiga tahun lalu berhubung dakwaan menerima wang berasal dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini adalah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari yang menolak permohonan mereka yang meminta  kebenaran mahkamah untuk penangguhan bagi meneruskan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini.

Pada 27 Februari 2020, Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan mereka mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis kompaun SPRM tersebut.

Mahkamah Rayuan juga turut menolak rayuan mereka pada 15 Oktober tahun lalu.

31 individu itu mewakili bahagian Umno dan Barisan Nasional yang diberikan notis kompaun oleh SPRM. 

Mereka termasuk Saarani yang mewakili Umno Perak, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Shahrir Samad dan bekas ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed.

Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Mohammed Hashim yang mendengar permohonan itu berkata tiada isu baharu yang dibangkitkan untuk diputuskan oleh mahkamah.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili SPRM, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak meminta kos daripada individu terbabit dan Hasnah juga tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Dalam permohonan itu, kesemua 31 individu meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa kompaun SPRM yang dikeluarkan pada 7 Okt 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Mereka turut memohon perintah untuk membatalkan notis kompaun itu dan injunksi bagi menghalang SPRM menguatkuasakan kompaun terbabit atau meneruskan tindakan pendakwaan.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili kesemua individu, meminta kebenaran untuk merayu bagi membolehkan mahkamah memutuskan lapan persoalan undang-undang.

Beliau berhujah pengeluaran notis kompaun itu adalah satu keputusan pentadbiran oleh SPRM yang boleh disiasat oleh mahkamah melalui semakan kehakiman.

Bagaimanapun, Hanir berhujah bahawa keputusan yang ingin dicabar bersifat akademik memandangkan tempoh untuk menerima atau menolak tawaran kompaun itu sudah luput tarikhnya kerana mereka mempunyai selama 14 hari untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata individu terbabit, melalui firma guaman Sharul Fazli, telah memaklumkan secara bertulis bahawa mereka tidak menerima tawaran kompaun itu.