- Iklan -
Berita

Pengguguran Tajuddin, Umno susun semula ‘jeneral perang’ PRU15?

Penganalisis berkata Zahid ingin menunjukkan apa akibat jika pemimpin kanan Umno tidak sehaluan dengannya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dari kiri: Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden Mohamad Hassan, Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak ketika perhimpunan agung parti itu Mac lalu.
Dari kiri: Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden Mohamad Hassan, Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak ketika perhimpunan agung parti itu Mac lalu.

Kepimpinan Umno yang diketuai presiden Ahmad Zahid Hamidi dilihat sedang menyusun semula “jeneral-jeneral” perang dalam parti itu selepas menggugurkan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam, kata penganalisis.

Dalam satu surat Umno yang tular di media sosial, penamatan bekas pengerusi Prasarana itu ialah kerana Tajuddin dilantik menjadi duta Malaysia ke Indonesia.

Namun seorang penganalisis berkata, ia mungkin bukan sebab mutlak.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ini kerana arwah Jamaluddin Jarjis juga masih menjadi ahli MKT ketika dilantik menjadi duta ke Amerika Syarikat pada 2009.

“Zahid ingin menunjukkan apa akibatnya kelantangan pemimpin kanan Umno yang tidak sehaluan dengan kepimpinannya.

“Sesiapa yang tidak sehaluan akan digugurkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pengguguran itu juga katanya memberi amaran kepada pemimpin kanan lain antaranya Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Mazlan berkata, Umno boleh disifatkan berani apabila bertindak menggugurkan Tajuddin dan kesannya agak besar dalam politik parti itu.

Sebelum ini, Tajuddin dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan bertikam lidah berhubung soal tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut perlembagaan parti, presiden Umno berkuasa melantik tidak lebih daripada 13 orang ahli sebagai MKT lantikan.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib berkata, pelucutan Tajudin dari MKT dilihat tepat pada masanya untuk parti itu.

“Beliau dilihat sebagai ‘trouble maker’ dalam umno, bermula dari isu LRT dan Prasarana Malaysia, dikritik dari menjadi duta Malaysia ke Indonesia, dan juga dilihat kurang sejajar dengan pandangan kebanyakan ahli MKT Umno mengenai beberapa perkara termasuk berkenaan tarikh pilihan raya.

“Umno mungkin mengatur strategi memperkukuh dalaman dengan kekuatan ahli lama dan baru sebagai persediaan PRU15,” katanya.

Sementara itu, bekas pegawai Najib, Isham Jalil turut dipanggil ke mesyuarat MKT seperti yang diumumkannya sendiri dalam laman sosialnya.

Menurut Mazlan, Umno dijangka bakal membuat gerakan politik besar dalam masa sebulan dua ini.

“Adakah perdana menteri dipaksa untuk membubarkan Parlimen? Itu tidak mustahil.

“Sesiapa yang tidak mahu mengikut keputusan Perhimpunan Agung Umno dan MKT, boleh diambil tindakan disiplin termasuklah perdana menteri jika dia tidak mahu mengadakan pilihan raya.”

Spekulasi mengenai PRU15 pada tahun ini juga bertiup kencang di media sosial apabila ada beberapa pihak memaklumkan sudah dipanggil untuk menghadiri kursus petugas pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Namun bagi Mazlan, Umno bakal berdepan dengan gelombang kemarahan rakyat apabila isu kos sara hidup dan harga barang yang meningkat masih panas dalam kalangan rakyat.

Malaysia juga dalam rangka membentangkan Belanjawan 2023 pada bulan Oktober ini.

Kartini berkata, sememangnya ramai yang mengandaikan PRU15 bakal terjadi pada bulan September atau Oktober.

“Umno ingin mengadakannya dengan cepat kerana merasai kemenangan di Melaka dan Johor akan menguntungkan mereka jika diadakan awal. Pakatan Harapan pula mahukan ia diadakan awal sebab yakin boleh menebus kejatuhan dua tahun lalu.

“Apa pun, petunjuk sebenar ialah pembubaran Parlimen oleh kabinet dengan izin Yang di-Pertuan Agong. Selagi belum berlaku, ramai akan terus berspekulasi,” katanya.