- Iklan -
Berita

Cacar monyet beri ancaman ‘sederhana’ kepada kesihatan global, kata WHO

WHO menjangkakan lebih banyak kes akan dilaporkan apabila pemantauan penyakit di negara endemik dan bukan endemik bagi wabak itu ditingkatkan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, yang diambil pada 1997 semasa siasatan terhadap penularan cacar monyet di Congo, menggambarkan simptom ruam pada tangan pesakit. Gambar: AFP/CDC
Gambar fail Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, yang diambil pada 1997 semasa siasatan terhadap penularan cacar monyet di Congo, menggambarkan simptom ruam pada tangan pesakit. Gambar: AFP/CDC

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad berkata cacar monyet dianggap memberi risiko ancaman “sederhana” terhadap kesihatan global selepas mengambil kira jumlah kes di negara di mana ia jarang ditemui.

“Risiko ancaman ini mungkin meningkat jika virus berkenaan mengambil kesempatan daripada kadar penularan sekarang untuk berubah menjadi patogen manusia.

“Dan Jika berlaku, virus cacar monyet berpotensi tersebar dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi berdepan jangkitan serius, seperti kanak-kanak dan mereka yang lemah daya tahan penyakit,” kata WHO.

Setakat 26 Mei lalu, 257 kes disahkan dan 120 lagi kes disyaki cacar monyet dilaporkan di 23 negara di mana penyakit itu bukan endemik tetapi WHO memaklumkan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga berpendapat, kemunculan cacar monyet secara tiba-tiba di beberapa negara bukan endemik menunjukkan jangkitan sudah lama bermula dan meningkat sejak kebelakangan ini.

WHO menjangkakan lebih banyak kes akan dilaporkan apabila pemantauan penyakit di negara endemik dan bukan endemik bagi cacar monyet ditingkatkan.

Cacar monyet adalah penyakit berjangkit yang kesannya adalah ringan dan merupakan endemik di wilayah barat dan tengah benua Afrika.

Ia tersebar menerusi kontak rapat dan mudah dicegah dengan mengamalkan pengasingan diri serta menjaga kebersihan diri.

Kebanyakan kes yang dilaporkan setakat ini dikesan di United Kingdom (UK), Sepanyol dan Portugal.

“Majoriti kes yang dilaporkan setakat ini tiada kaitan perjalanan ke kawasan endemik cacar monyet dan berlaku menerusi jangkitan tempatan atau hubungan seksual.”