- Iklan -
Berita

Sejauh mana kita mengenali pedofil?

Ramai dalam kalangan mereka pandai menyembunyikan aktiviti jenayah tersebut dalam jangka waktu yang lama.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak bersama keluarga melakukan aktiviti rekreasi di pusat bandar Kuala Lumpur. Ramai pedofil berjaya menyembunyikan aktiviti jenayah mereka daripada pengetahuan ramai dalam masa yang lama.
Kanak-kanak bersama keluarga melakukan aktiviti rekreasi di pusat bandar Kuala Lumpur. Ramai pedofil berjaya menyembunyikan aktiviti jenayah mereka daripada pengetahuan ramai dalam masa yang lama.

Selama beberapa dekad, dunia melihat Jimmy Savile atau nama penuhnya James Wilson Vincent Savile di mana-mana sahaja.

Warganegara Britain itu dikenali hampir di serata dunia sebagai juruhebah radio.

Beliau juga selebriti dan pengacara rancangan muzik pop dan seringkali muncul di pentas untuk memperkenalkan kumpulan-kumpulan muzik besar seperti The Beatles dan The Rolling Stones.

Savile juga tersohor dengan kerja-kerja amalnya melalui kutipan dana amal maraton dan rancangan kanak-kanak “Jim’ll Fix It” yang menerima ratusan ribu surat permintaan daripada kanak-kanak di seluruh dunia.

Savile juga terkenal dalam kalangan kerabat diraja dan ahli politik. Putera Charles dilihat senyum dan bergelak tawa ketika berada bersamanya.

Bekas perdana menteri United Kingdom, Margaret Thatcher menulis surat kepada permaisuri England melobi darjah kebesaran untuknya.

Sehingga tahun 2011, pasukan polis mendedahkan Savile memangsakan kira-kira 500 orang perempuan seawal usia dua hingga 75 tahun.

Beliau meninggal dunia bulan Oktober, pada tahun yang sama.

Pendedahan skandal seks Savile menggemparkan dunia.

Kanak-kanak yang membesar dengan rancangan Savile tidak boleh menerima hero mereka adalah seorang pelaku pedofilia.

Perdebatan hangat muncul di semua platform media mempersoalkan kredibiliti dan keupayaan Savile melakukan kegiatan pedofil sewaktu dirinya mendapat perhatian ramai pihak hampir setiap masa sepanjang hari.

Malah, ada beberapa laporan media menganggap Savile mempunyai penyakit mental.

Beberapa profesor psikologi di Britain dalam satu temubual pada 2015 di BBC menyebut, Savile bukannya berpenyakit mental tetap seorang yang licik.

Sementara itu, melalui satu dokumentari yang diterbitkan oleh Netflix pada awal tahun ini berjudul “Jimmy Savile: A British Horror Story” memberi kesimpulan mengenai bagaimana beliau membentuk (groomed) seluruh masyarakat.

Bukan sahaja ianya satu rancangan yang menarik untuk kelangsungan stesen televisyen.

Pada masa yang sama, di situ Savile menyebarkan idea secara halus kepada kanak-kanak bahawa beliau seorang yang baik hati, jujur dan rela berkorban apa sahaja untuk mereka.

Pendek kata, “percayakan Pak Cik Jimmy.”

Perkembangan ini menimbulkan lagi persoalan tentang sejauh mana kita mengenali pedofil atau pemangsa seksual kanak-kanak?

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menegaskan pelaku pedofil dan pemangsa jenayah seksual kanak-kanak bukan kategori “gila”.

Katanya, dengan menyebut golongan ini sebagai mempunyai masalah mental seperti memberikan “lesen” untuk mereka berterusan melakukan jenayah tersebut.

“Adakah mereka capable (mampu untuk buat hubungan seksual)? Kalau mereka tidak capable, macam mana mereka boleh rancang perbuatan mereka?

“Orang gila, tidak boleh rancang apa yang mereka nak buat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, seorang aktivis sosial, Mohd Fairuz Abu berkata secara realitinya, pemangsa-pemangsa jenayah seksual kanak-kanak ini menyedari hakikat mereka sebenarnya melakukan jenayah.

Atas sebab itu, mereka memilih untuk bersembunyi dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan bantuan dan memastikan sekiranya benar mereka mengalami masalah kesihatan mental.

“Rakan-rakan saya ada juga doktor psikiatri, tapi mereka tak pernah dapat pesakit pedofil. Sebab mereka memang tak tampil kerana mereka tahu apa yang mereka buat itu salah di sisi undang-undang.

“Mereka tak pergi hospital sebab takut ditangkap, seolah macam cari penyakit,” katanya kepada MalaysiaNow.

Apabila ditoleh ke belakang, perancangan Savile tidak pernah disedari ketika dia masih hidup. 

Kegiatan seorang lagi warganegara Britain, Richard Huckle, yang ditangkap pada 2014 atas 71 kesalahan seksual kanak-kanak juga tidak pernah disedari. 

Sementara Alladin Lanim yang menyimpan ribuan bahan-bahan pornografi yang disimpan oleh di sebuah kampung di Sarawak juga tidak pernah diketahui sehingga tangkapan dilakukan. 

Begitu juga aktiviti seorang pelajar warga Malaysia yang dianggap genius di UK, Nur Fitri Azmeer Nordin yang menyimpan lebih 30,000 imej dan bahan lucah kanak-kanak juga selamat daripada pengetahuan orang ramai sehingga dia diberkas. 

Boleh jadi, sesiapa sahaja adalah pedofil. Jadi, sejauh mana kita mengenali pedofil?