- Iklan -
Berita

Mampukah penjara ubah sikap, perangai banduan?

Ramai banduan yang dimasukkan berulang kali ke penjara bagi kesalahan yang sama selepas dibebaskan menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program penjara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Menurut kaunselor penjara Ravindran Vengadasamy, ramai bekas banduan kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan dari penjara. Gambar: Pexels
Menurut kaunselor penjara Ravindran Vengadasamy, ramai bekas banduan kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan dari penjara. Gambar: Pexels

Sebulan sekali, Ravindran Vengadasamy menjalankan rutinnya menyarung kemeja, memakai tali leher, seluar panjang dan sepatu kulit.

Selepas itu, dia akan bersarapan sebelum memulakan perjalanan ke Penjara Kajang di Kajang, Selangor.

Di pintu masuk, dia akan disapa oleh anggota bertugas.

Dia akan melalui beberapa proses dan pintu-pintu lain.

Di situ, dia akan berjumpa dengan banduan-banduan yang sedang menjalani hukuman di sel masing-masing.

Dia akan menyapa mereka dengan ramah dan bertanya jika ada apa-apa keperluan yang dimahukan.

Tidak sehingga dia melihat kepada beberapa wajah.

“Eh, kamu lagi? Bila kamu masuk semula ke penjara?”

Dia mengenali wajah-wajah banduan yang pernah menerima kaunseling darinya sebelum ini.

Kini, mereka menjadi penghuni penjara sekali lagi.

Perkembangan itu membawa satu petanda.

Penjara tidak mampu mengubah perangai dan sikap penghuninya.

Itulah rutin biasa Ravindran sebagai kaunselor penjara sejak 12 tahun lalu.

Ravindran Vengadasamy bekerja sebagai kaunselor di penjara sejak 12 tahun lalu.

Kini, dia ditugaskan untuk berjumpa hanya dengan banduan bilik akhir yang sedang menunggu masa untuk ke tali gantung, atau bernasib baik menerima pengampunan.

Berkongsi pengalaman pertama kali melangkahkan kaki ke penjara, Ravindran berkata perasaan sunyi, hening dan terasing singgah ke sanubarinya.

Ini satu fenomena biasa untuk penjara di Malaysia.

Berbanding penjara di negara-negara Barat yang dilihat lebih terbuka untuk menerima lawatan dan kunjungan pihak luar.

Malah, dalam banyak-banyak dokumentari melibatkan kes jenayah berprofil tinggi di luar negara, kebanyakannya dirakam dari lensa dalam penjara.

Di sana, pasukan produksi, wartawan dan banduan ditemu ramah secara bersemuka dalam kawasan penjara.

Di Malaysia, situasi itu boleh disebut sebagai sesuatu yang mustahil.

Meskipun tidak selesa dengan suasana di dalam penjara, Ravindran akur dengan keadaan itu.

“Kita kena faham itu tempat pemulihan bukan tempat mereka untuk berehat dan bersosial,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

“Sebagai orang awam, saya fikir kena biarkan sahaja begitu. Jangan bagi mereka seronok dan selesa pula. Mereka perlu takut dan bencikan penjara.”

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Ravindran memerhati, sebanyak 30-40% banduan berjaya mengubah tingkah laku, manakala selebihnya akan kembali melakukan kesalahan yang sama dan dihantar semula ke penjara.

Di mana silapnya ?

Jelas Ravindran, penjara di Malaysia memerlukan pendekatan dan kaedah holistik yang boleh memberikan impak besar dan menyeluruh kepada para banduan.

Bagaimanapun, dia menyifatkan program-program yang disediakan penjara di Malaysia sebagai tidak berkesan.

Ini kerana, katanya, pegawai tidak menjalankan inisiatif sendiri untuk mencipta program yang lebih segar dan sesuai seiring perkembangan dunia hari ini.

“Ada program yang tak boleh pakai langsung. Hanya buat apa yang (orang atasan) suruh.

“Memanglah program yang ada tak akan ke mana. Kitar semula sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, keadaan lebih parah di blok penjara wanita yang dikatakan mempunyai program yang amat lemah dan tidak berupaya menaik taraf kehidupan banduan-banduan itu.

“Mereka perlu wujudkan program yang tunjukkan matlamat. Barulah ada hasil.

“Ubah program secara holistik. Penjara sangat tertutup. Kalau nak nampak hasil, mereka kena terbuka sedikit dengan pihak luar,” katanya.

Menurut Ravindran, sekiranya penjara bertegas untuk tidak membuka ruang perbincangan. Tiada sesiapa pun akan memahami situasi dan konflik dalaman agensi itu apatah lagi untuk menghulurkan bantuan.

MalaysiaNow telah menghubungi jabatan penjara bagi mendapatkan respons mereka.

Bagaimanapun, katanya, anggota dan pegawai penjara sangat memberi kerjasama dan membantunya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai kaunselor kepada para banduan.

“Mereka sangat menghormati kami.”

Jadi lebih ‘jahat’ dalam penjara

Sementara itu, seorang bekas banduan mahu dikenali sebagai Gurunanthan mengakui hukuman penjara selama beberapa tahun tidak mampu mengubah sikapnya dari melakukan kesalahan yang sama.

Bekas banduan Gurunanthan yang berjaya mengubah hidupnya selepas dipenjarakan kini turut membantu banduan yang keluar dari penjara melalui pusat pemulihan kelolaannya, Seed of Hope.

Masakan tidak, di penjara, kata Gurunanthan, banduan diajar untuk melakukan kesalahan dan jenayah yang lebih ekstrem dan “lumayan”.

“Ada abang besar baru masuk penjara, jumpa dengan peragut. Peragut lepas beberapa bulan keluar penjara, pandai rompak bank pula.

“Siapa yang ajar? Abang besarlah. Ada juga yang jadi hamba abang-abang besar. Bawa dulang makan, bawa itu ini. Macam-macam.

“Ini yang masalah. Penjara kena asingkan mereka ini dulu. Jangan bagi mereka bersemuka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak di usia muda, Gurunanthan sudah terlibat dengan pelbagai kes jenayah dan salah laku seperti mengikut geng gengster dan kongsi gelap, mencuri, menjual dan memiliki dadah.

Dia dijatuhkan hukuman penjara kerana memiliki dadah terlarang.

Selepas selesai menjalani hukuman, dia mengakui buat beberapa ketika beliau masih mengambil dan menjual bahan terlarang tersebut.

Namun, berbekalkan kecekalan dan ketabahan dirinya, dia tidak lagi memilih jalan hidup sedemikian.

Kini, Gurunanthan memiliki sebuah pusat pemulihannya sendiri, “Seed of Hope” yang terletak di Petaling Jaya.

Di sana, dia menjaga dan menyelia kira-kira 40 orang bekas banduan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

Malah, ada juga daripada mereka merupakan bekas banduan bilik akhir yang terlepas daripada hukuman gantung sampai mati.

Mereka adalah pesalah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang didapati bersalah dalam kes bunuh.

Di pusat pemulihan itu, dia menjalankan program berlainan setiap hari di samping kelas kemahiran dan slot-slot permainan seperti catur untuk para penghuninya bersosial dan beriadah.

“Ada juga yang bekerja dan sakit. Mereka menjaga antara satu sama lain.”

Sejak 2016, Ravindran tidak lagi berjumpa dan memberi kaunseling kepada banduan di sel-sel biasa.

Kini, dia hanya berjumpa dengan banduan-banduan akhir yang ditempatkan asing daripada kelompok itu.

Ajaibnya, daripada peringkat awal hingga kini, dia berkata tidak pernah bertembung dengan mana-mana wakil agensi kerajaan di penjara.

“Saya tak pernah lagi bertembung dengan mana-mana kaunselor lain.”

Atas sebab itu, Ravindran menggesa pihak penjara mengadakan rundingan dengan semua pihak bagi memastikan banduan mendapat sokongan yang padu dan menyeluruh untuk membawa mereka mencari sinar baru dalam hidup.

“Orang bila dah hilang kehidupan, mereka akan tahu pentingnya dan nikmatnya hidup.

“Tapi kalau kita salah beri bimbingan, mereka akan tenggelam lagi dan lagi.”