Sebanyak 15,668,773 individu dewasa atau 66.6 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.
Berdasarkan laman web CovidNow, sejumlah 22,950,073 atau 97.5% daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,226,244 atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,849,642 individu atau 91.6% daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,946,672 atau 94.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu, untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sejumlah 1,315,497 individu atau 37.1% kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
Semalam, sebanyak 41,287 dos vaksin diberikan melibatkan 4,360 suntikan pertama, 1,684 suntikan lengkap dan 35,243 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini 68,745,333 dos.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 54 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Selangor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 13 kes diikuti Perak (sembilan), Kuala Lumpur (lapan), Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing lima kes.
Johor, Sarawak dan Terengganu pula masing-masing mencatat tiga kes, Kelantan dan Melaka masing-masing dua kes manakala Pulau Pinang satu kes.