- Iklan -
Berita

Bagaimana masa depan DAP selepas Kit Siang bersara?

Walaupun beberapa puak dalam parti itu akan kekal, DAP dijangka akan kekal bersama Pakatan Harapan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran DAP Lim Kit Siang (tengah) bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim (kiri) dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng (kanan). Gambar: Bernama
Veteran DAP Lim Kit Siang (tengah) bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim (kiri) dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng (kanan). Gambar: Bernama

Penganalisis menjangka DAP akan kekal utuh dan bersatu walaupun selepas persaraan pemimpin veteran yang juga salah seorang pengasas parti itu Lim Kit Siang daripada arena politik.

Persaraannya diumumkan sendiri oleh Kit Siang pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 baru-baru ini selepas menarik diri daripada bertanding sebarang jawatan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebelum ini merupakan ketua Parlimen DAP dan ketua pembangkang selama beberapa penggal.

Selepas berpuluh tahun mewarnai politik negara, beliau turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kit Siang yang pernah menjadi ketua pembangkang turut memegang rekod sebagai setiausaha agung DAP paling lama iaitu dari 1970 hingga 1999.

James Chin dari Universiti Tasmania, Australia berkata peletakan jawatan Lim tidak akan memicu perpecahan puak dalam parti itu.

“Semua puak utama akan kekal. Mereka hanya mahu tahu keputusan pemilihan.

“Walaupun ada puak Anthony Loke, puak-puak utama sudah lama wujud dan ia tidak menjadi satu masalah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Anak kepada Kit Siang, Lim Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan melepaskan jawatan setiausaha agung DAP dan Loke dipilih untuk menggantikannya.

Dalam pemilihan itu, Gobind Singh Deo yang juga ahli Parlimen Puchong mendapat undi tertinggi dengan 1,782 diikuti Chow Kon Yeow (1,641) dan Loke (1,625).

Guan Eng mendapat tempat kelapan dengan 1,311.

Nama besar lain yang tewas ialah Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin.

Penganalisis politik Wong Chin Huat dari Jeffrey Cheah Institute pula berpendapat tiada kepuakan yang jelas kelihatan di peringkat DAP kebangsaan ketika ini walaupun ada kepuakan di peringkat negeri.

“Loke mendapat sokongan meluas daripada pemimpin segenerasi dan gaya kepimpinan beliau yang konsultatif boleh menjamin sokongan berterusan,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada pelantikan ahli Parlimen Seremban itu.

Bagi Chin, DAP masih menjadi parti yang utuh dalam Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya beliau berpendapat persoalan sebenar tertumpu kepada PKR yang dilihat lemah.

“Sejak 2020, tiada ahli Parlimen dari DAP yang melompat. DAP akan kekal dalam PH namun mungkin ingin mengubah sifat gabungan tersebut.

“Mereka tidak boleh keluar daripada gabungan kerana mereka perlukan undi Melayu,” katanya.

Mengimbau kembali karier politik Kit Siang, Chin berkata musuh politik ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga tidak boleh menafikan peranan yang dimainkannya dalam politik sejak 1965.

“Sama ada anda suka DAP atau tidak, jelas dia merupakan satu tokoh besar dalam politik Malaysia.

“Dia akan sentiasa dikenang sebagai pejuang hak bukan Melayu. Legasi keduanya ialah ‘longevity’. Dia kekal dalam politik sepanjang usia dewasanya. Ini agak sukar dijumpai.”