- Iklan -
Berita

Malaysia kesan 49 kes baru varian Omicron

Jumlah kes varian Omicron dalam negara kini mencecah 62 kes.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama

Sebanyak 49 kes baru jangkitan Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, menjadikan kumulatif kes varian berkenaan kini 62 kes.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan ia termasuk satu kes Covid-19 varian Omicron yang berkemungkinan jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak, semalam (24 Dis).

Beliau menjelaskan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 hingga 21 Disember sebelum 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

“Pada 24 Disember, 45 daripada 60 sampel presumptive ini disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-Unimas) pula mengesan empat kes varian Omicron.

Mengulas mengenai kes kemungkinan jangkitan tempatan, Khairy berkata ia membabitkan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

Katanya lelaki tersebut menjalani ujian Covid-19 pada 18 Disember kerana mengalami demam dan batuk selama enam hari sebelum keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes dimasukkan ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Disember.

Beliau berkata sampel kes dihantar ke IHCM-Unimas untuk ujian jujukan genom dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Disember.

“Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun ini. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan telah lengkap vaksinasi dan berada dalam keadaan stabil.

Khairy berkata dua kontak dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial dengan kedua-dua mereka diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif Covid-19.