- Iklan -
Berita

Aset DBKL digerakkan ke Taman Sri Muda

Shahidan berkata pihaknya juga menyiapkan 2,000 pek makanan untuk diagihkan semalam, manakala sebanyak 3,000 lagi akan diagihkan hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Wilayah Persekutuan ketika turun ke Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor semalam. Gambar: Facebook
Menteri Wilayah Persekutuan ketika turun ke Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor semalam. Gambar: Facebook

Kementerian Wilayah Persekutuan menggerakkan aset air Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi lain di bawah kementerian itu, bagi mempercepatkan urusan mengeluarkan mangsa banjir di Taman Sri Muda.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata sebanyak 10 bot daripada pihak berkuasa tempatan itu serta aset-aset bantuan lain, digerakkan ke kawasan terbabit.

“Keadaan banjir sudah berkurang di Wilayah (Kuala Lumpur), saya kerahkan mereka untuk datang di sini (Taman Sri Muda).

“Setakat ini yang ada di sini sudah dua pasukan penguatkuasa daripada semalam. Pasukan tambahan daripada DBKL dalam proses perjalanan ke sini,” katanya pada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, semalam.

Shahidan berkata pihaknya juga menyiapkan 2,000 pek makanan untuk diagihkan semalam, manakala sebanyak 3,000 lagi akan diagihkan hari ini.

“Keperluan lain dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami akan bagi jika ada permintaan,” katanya.