Bekas perdana menteri, Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor serta pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh akan memeriksa 11,991 unit barang kemas yang disita polis dan kini disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM), bulan depan.
Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin semasa dihubungi berkata pihak-pihak terlibat bersetuju untuk memeriksa barang kemas itu bermula 25 Oktober hingga 5 November.
“Pemeriksaan akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) BNM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan Covid-19,” katanya kepada Bernama selepas pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin hari ini.
Pemeriksaan barang kes tersebut yang kini disimpan dalam lebih 90 buah kotak ditangguh beberapa kali disebabkan pandemik Covid-19.
Najib, Rosmah dan Global Royalty merupakan pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki oleh Bustari Yusof.
Pada 25 Julai tahun lepas, Najib dan Rosmah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.
Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).