- Iklan -
Berita

Awasi peranti anak-anak, pakar ingatkan ibu bapa kesan pandemik mulai timbul

Penggunaan peranti berskrin yang berlebihan boleh mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak selain penglihatan mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penggunaan peranti berskrin dengan waktu yang lama boleh menjejaskan tingkah laku kanak-kanak.
Penggunaan peranti berskrin dengan waktu yang lama boleh menjejaskan tingkah laku kanak-kanak.

Beberapa pakar memberi amaran berhubung peningkatan kes melibatkan pendedahan mata kanak-kanak dan remaja terhadap paparan skrin secara berlebihan ekoran penggunaan peranti berskrin sepanjang sekatan pergerakan Covid-19 yang berkuat kuasa beberapa kali di seluruh negara sejak tahun lalu.

Terdedah kepada paparan skrin yang berlebihan adalah berbeza mengikut usia namun ia didefinisikan sebagai penggunaan peranti berskrin pada tahap melampau atau melebihi had sepatutnya.

Seorang ahli psikologi kanak-kanak di Gleneagles Pulau Pinang Sherine Selvarajah berkata semakin ramai ibu bapa mengadu dan mendapatkan nasihat setelah menyedari wujud perubahan tingkah laku pada anak-anak mereka.

“Ibu bapa merasa bimbang apabila anak-anak mereka sentiasa bersama telefon pintar mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mereka tidak mengadu tentang masalah penglihatan anak-anak mereka – mereka mengadu mengenai perubahan tingkah laku anak-anak.”

Beliau berkata penggunaan peranti berskrin yang berlebihan boleh mempengaruhi tabiat kanak-kanak di banyak sudut termasuk gaya hidup, corak tidur, tabiat makan dan kesejahteraan emosi.

Ringkasnya, “mereka tidak dapat berpisah dengan telefon pintar,” katanya.

Menurut Sherine, kanak-kanak boleh dikatakan berada dalam spektrum ketagihan bergantung kepada beberapa gejala yang berkembang, misalnya kecenderungan untuk mengasingkan diri, sering berada dalam angin yang tidak baik, dan bahkan dalam beberapa keadaan, menjadi agresif.

Bagi kanak-kanak yang lebih muda, beliau mengesyorkan mereka tidak boleh menghabiskan masa lebih dari dua hingga tiga jam dengan paparan skrin setiap hari, dan ia perlu dibahagikan kepada beberapa sesi.

“Enam hingga lapan jam sehari sudah dianggap sangat berlebihan.”

Beliau memberikan contoh kes di mana seorang bapa tunggal meminta bantuan mengenai anak perempuannya yang sepatutnya menghadiri kelas dalam talian sepanjang tempoh “lockdown” namun gagal berbuat demikian.

“Daripada belajar, dia bermain permainan dalam telefon sepanjang hari. Dia tidak tidur hingga larut malam dan dia tidak bangun untuk ikuti kelas.”

Beliau berkata anak perempuan itu kemudiannya menjalani terapi tingkah laku untuk mengatasi masalah kemarahan selain membaiki tabiat makan dan tidurnya.

Beliau juga menyebut satu lagi kes di mana seorang kanak-kanak berusia lapan tahun mula menggodam telefon bapanya dan menggunakan akaun Google dan kad kredit untuk mencapai tahap seterusnya dalam permainan komputer.

“Selain ketagihan, dia turut tunjukkan tingkah laku lain seperti berbohong,” katanya.

Bergantung pada tahap kes, wujud kanak-kanak terpaksa ditempatkan di pusat pemulihan.

Walaupun ramai yang memberi respons yang baik terhadap rawatan, Sherine berkata sebilangan daripada mereka menunjukkan gejala itu semula ekoran pandemik yang menyebabkan ibu bapa sibuk dan anak-anak menjadi bosan kerana tidak ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

Selain perubahan tingkah laku, wujud juga kebimbangan mengenai kerosakan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak yang terlalu lama terdedah dengan paparan skrin peranti.

Pakar bedah mata di Hospital Pantai Pulau Pinang Dr Tan Jin Poi berkata golongan itu berisiko menghidap sindrom penglihatan komputer, ia juga turut dikenali sebagai ketegangan mata berpunca daripada pendedahan dengan paparan skrin yang lama.

“Ini adalah gabungan antara gejala-gejala visual dan non-okular,” katanya kepada MalaysiaNow memetik beberapa masalah penglihatan seperti imej berganda, kesukaran fokus, dan letih mata serta kemerahan.

“Para penyelidik menyedari pendedahan berpanjangan mata dengan skrin dalam kalangan kanak-kanak adalah faktor rabun mata atau myopia,” katanya.

Risiko ini meningkat dalam kalangan kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih lapan jam setiap hari dengan skrin peranti mereka, tambahnya.

Tan juga memberi amaran perkembangan pemikiran dan emosi selama lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak boleh dipengaruhi sekiranya menghabiskan banyak masa dengan peranti.

Katanya, kanak-kanak juga boleh menghadapi risiko berat badan berlebihan.

Sherine turut menambah, walaupun mungkin sukar, ibu bapa tidak mempunyai pilihan selain mengambil langkah-langkah untuk mengawal keadaan tersebut.

“Sekiranya anda menyuruh mereka buat perkara lain, mereka akan bertanya pula apa lagi aktiviti yang boleh dilakukan. Cuba rancang dan atur aktiviti bersama mereka.”

Bagaimanapun, ia tidak bermaksud penggunaan peranti berskrin adalah dilarang sama sekali.

“Anda boleh benarkan mereka gunakan peranti berskrin tetapi anda perlu mengawalnya, beri mereka jadual.

“Ibu bapa harus konsisten dalam memastikan anak-anak mengikuti jadual mereka,” kata Sherine.

Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu tunjukkan tauladan.

“Ibu bapa juga perlu menjadi model ikutan yang baik,” tambahnya.