- Iklan -
Berita

Raya tahun ini dijangka disambut dalam PKP sekali lagi

Restoran dan sekolah dijangka akan ditutup bermula esok di beberapa negeri ketika angka kes meningkat secara mendadak beberapa minggu lalu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

MalaysiaNow difahamkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang dalam masa 10 hari lagi akan berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk melaksanakan fasa ketiga kawalan pergerakan itu bagi membendung lonjakan kes harian Covid-19.

Satu sumber berkata restoran dan sekolah akan ditutup di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak mulai esok, dalam langkah seperti PKP yang dilaksanakan awal tahun ini sebelum ia dilonggarkan pada Mac bagi membolehkan hampir semua aktiviti.

Namun, dengan jumlah angka kes harian mencecah zon 3,000 sejak seminggu lalu selain ribuan orang berpusu-pusu ke pusat beli-belah bagi berbelanja sempena Aidilfitri, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain melaksanakan PKP lebih ketat yang akan menyaksikan perayaan terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.

Terdapat peningkatan sekurang-kurangnya 25% dalam kes harian sepanjang minggu terakhir April berbanding minggu-minggu sebelumnya, sehingga Yang di-Pertuan Agong tampil mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP kesihatan.

Tinjauan lokasi-lokasi panas oleh MalaysiaNow sebelum ini menunjukkan kurangnya pematuhan SOP Covid-19 kerana terlalu ramai orang membeli belah di pusat bandar menjelang Aidilfitri.

Kadar pematuhan yang “tidak memuaskan” berlaku walaupun pemilik perniagaan berusaha melakukan pengumuman melalui pembesar suara secara berkala bagi mengingatkan pelanggan supaya menjaga SOP penjarakan fizikal antara satu sama lain.

Di bawah fasa awal tiga bulan PKP pada Mac tahun lalu, kerumunan sedemikian tidak dilihat pada Ramadan tahun lalu ekoran bazar, kedai tekstil dan pusat beli belah tidak dibenarkan beroperasi.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pihak berkuasa akan mengkaji semula PKP di negeri-negeri yang melaporkan jumlah kes yang tinggi kebelakangan ini.

“Penilaian semula ini penting untuk memastikan SOP dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat,” katanya.

Banyak sekolah dan bazar Ramadan ditutup di tengah-tengah laporan peningkatan kluster baru.

Pihak berkuasa juga berkemungkinan besar melanjutkan larangan aktiviti-aktiviti lain di bawah PKP berikutnya termasuk perhimpunan sosial dan keagamaan yang menjadi acara utama Hari Raya Aidilfitri.