- Iklan -
Berita

CCTV rekod bagasi hitam, merah ditarik dari aras pejabat Hasanah

Beberapa pegawai tadbir dan diplomatik Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), dilihat menarik beberapa bagasi pelbagai saiz berwarna hitam dan merah keluar masuk, dari aras yang menempatkan pejabat bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Ab Hamid dan timbalan-timbalannya. Ini berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada 163 fail rakaman CCTV yang […]

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Hasanah Ab Hamid ketika menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung pertuduhan pecah amanah libat RM50.4 juta wang kerajaan.
Hasanah Ab Hamid ketika menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung pertuduhan pecah amanah libat RM50.4 juta wang kerajaan.

Beberapa pegawai tadbir dan diplomatik Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), dilihat menarik beberapa bagasi pelbagai saiz berwarna hitam dan merah keluar masuk, dari aras yang menempatkan pejabat bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Ab Hamid dan timbalan-timbalannya.

Ini berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada 163 fail rakaman CCTV yang ditayangkan hampir satu jam di Mahkamah Tinggi hari ini, pada perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) yang dihadapi Hasanah, yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyelidikan JPM.

Dalam prosiding itu, timbalan pendakwa raya Ahmad Farid Ahmad Kamal mengemukakan rakaman CCTV, ketika pemeriksaan utama terhadap Pegawai Siasatan di Bahagian Forensik Teknologi Ibu Pejabat SPRM, Badri Azni, 37.

Rakaman itu menunjukkan beberapa orang lelaki menarik keluar dan masuk beberapa bagasi melalui lif di aras satu, aras tujuh, dan anjung kereta, Blok B4, JPM pada 30 April dan 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, mahkamah tidak diberitahu mengenai kandungan bagasi-bagasi berkenaan.

Ketika disoal balas peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah yang mewakili Hasanah, adakah tertuduh (Hasanah) dilihat dalam ratusan fail rakaman yang ditunjukkan di mahkamah hari ini, Badri, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan itu menjawab: “Tiada”.

Sementara itu, bekas polis bantuan JPM Norrashid Mahmud, 59, berkata berdasarkan rakaman-rakaman tersebut, beliau mengenali kesemua individu yang dipaparkan menerusi rakaman CCTV berkenaan.

“Mereka adalah pegawai tadbir dan diplomatik di Blok 4, JPM (Bahagian Penyelidikan),” katanya ketika ditanya soalan tambahan semasa pemeriksaan utama oleh TPR Mohd Fairuz Johari, pada hari keenam perbicaraan kes tersebut.

Ketika membacakan penyataan saksinya, Norrashid yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata, beliau mengenali semua pegawai serta kakitangan di bahagian berkenaan, kerana telah bertugas lebih 20 tahun sebelum bersara pada 20 Oktober tahun lepas.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh bersambung pada 12 April ini (Isnin).

Namun pihak media dan orang awam tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah pada 12 hingga 16 April bagi mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup, kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.