- Iklan -
Berita

Pahang beri kelonggaran aktiviti keagamaan di masjid, surau

Kelas agama dan acara lain seperti baca yasin dan tahlil turut dibenarkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Negeri Selangor turut melonggarkan sekatan di masjid dan membenarkan solat Jumaat dilaksanakan dengan pematuhan SOP.
Negeri Selangor turut melonggarkan sekatan di masjid dan membenarkan solat Jumaat dilaksanakan dengan pematuhan SOP.

Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran berhubung aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk kebenaran penganjuran kuliah dan majlis ilmu.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebelum ini, hanya kuliah maghrib dan tazkirah subuh sahaja dibenarkan, dan kini diperluaskan meliputi kuliah Dhuha, kuliah sebelum solat Jumaat, kelas al-Quran dan fardu ain.

Selain itu, beliau berkata turut dibenarkan adalah kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), bacaan Yasin dan tahlil serta jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu.

“Kelonggaran berkenaan telah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim dan berkuat kuasa hari ini sehingga dimaklumkan kemudian, bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kelonggaran itu juga meliputi kehadiran pada majlis akad nikah di masjid dengan mengikut ruang yang ditetapkan berbanding hanya 20 orang sebelum ini, selain kanak-kanak tujuh tahun dan ke atas turut dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu.

Tambah Rosdy, perkara lain berkaitan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, hendaklah terus diamalkan.

“Semoga dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberi dan dinyatakan ini, kita semua dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan masjid dan surau kita,” katanya.