- Iklan -
Berita

Bahayakan diri untuk nampak ‘sempurna’ demi pujian di media sosial

Pakar menasihatkan agar jangan mudah percaya dengan tawaran sesuatu produk kosmetik dan kecantikan tubuh.

Fadila Awaludin
3 minit bacaan
Kongsi
Demi pujian di media sosial dan mahu menjadi 'influencer' ramai melakukan perkara yang membahayakan diri. Gambar: AFP
Demi pujian di media sosial dan mahu menjadi 'influencer' ramai melakukan perkara yang membahayakan diri. Gambar: AFP

Pengaruh kehidupan maya yang begitu kuat dalam kehidupan masyarakat pada hari ini mendorong mereka melakukan apa sahaja termasuk membahayakan diri semata-mata untuk kelihatan “sempurna” dan mendapat pujian di media sosial, kata pakar psikologi dan pembedahan.

Mereka berkata, hal ini didorong pula dengan keadaan pada hari ini di mana pengaruh di media sosial melambangkan cerminan taraf sosial seseorang.

Mohd Suhaimi Mohamad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata perbuatan itu menjadi salah satu cara bagi individu terbabit mengurangkan rasa bimbang bagi mencapai tahap kepuasan diri.

“Kebarangkalian golongan ini sedar implikasi yang akan terjadi sekiranya memilih jalan pintas itu ada, tetapi disebabkan terdesak mengikut kehendak selain tekanan sekeliling secara tidak langsung menjadi satu ‘galakan’ kepada mereka untuk melakukan apa sahaja untuk menjadi cantik,” Suhaimi dari pusat kajian psikologi dan kesejahteraan manusia UKM itu kepada MalaysiaNow.

“Sikap sebegini tidak akan berubah sekiranya tidak mendapatkan rawatan yang bersesuaian selain menyebabkan tahap emosi individu terbabit semakin teruk.”

Baru-baru ini, video sekumpulan wanita mendapatkan suntikan vitamin C di dalam kereta untuk tujuan memutihkan kulit menjadi tular di Twitter.

Tindakan sekumpulan wanita ini mengundang pelbagai reaksi termasuk pakar perubatan yang rata-ratanya mengkritik tindakan itu.

Dapatkan khidmat pakar

Suhaimi berkata, sekiranya seseorang mahu mencantikkan diri, dia perlu mempunyai kemahiran terhadap kandungan produk selain mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar.

“Jangan mudah terpedaya dengan iklan dan tawaran produk yang mengatakan boleh buat begitu, begini kerana berkemungkinan tanpa sedar kandungan yang digunakan memberi kesan negatif pada jangka masa panjang,” katanya.

Pakar Perunding Pembedahan Rekonstruktif dan Plastik Dr Wan Syazli Rodzaian Wan Ahmad memandang serius terhadap penjualan produk kecantikan yang diragui keselamatannya.

“Internet harus digunakan dengan bijak dengan mencari maklumat mengenai kandungan produk yang digunakan oleh sesebuah jenama kerana terdapat banyak penjelasan untuk mengetahui kesan sampingan,” kata doktor pakar di Hospital Pakar Avisena, Selangor itu kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya masih berasa ragu-ragu, boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar di klinik atau hospital.”

Katanya, ini disebabkan terdapat latihan khusus dan pentauliahan bagi anggota perubatan yang ingin terlibat dalam pembedahan rekonstruktif dan plastik.

“Sekiranya ingin medapatkan sebarang rundingan, pesakit seharusnya bertemu dengan pakar perubatan yang memiliki sijil Letter of Credentialing & Privileging (LCP) untuk menjalankan prosedur dan rawatan estetik selain disahkan oleh kementerian kesihatan Malaysia.”

Wan Syazli berkata, walaupun kos rawatan doktor tidak bertauliah lebih murah dan dianggarkan sekitar RM300 hingga RM400, ia akan mendatangkan kesan jangka panjang.

“Saya mempunyai pengalaman di mana pesakit datang mendapatkan rawatan di hospital selepas berlaku komplikasi dan teruk kesan daripada mendapatkan khidmat doktor yang tidak memiliki sijil LCP.

“Walaupun memiliki kepakaran dalam bidang estetik, tetapi saya kerap menasihati pesakit agar mendapatkan maklumat terperinci sebelum membuat sebarang keputusan, ini penting kerana mereka perlu memiliki pengetahuan,” katanya yang pernah mendapat latihan estetik di Korea Selatan.

Katanya, kesedaran terhadap penampilan fizikal menyebabkan golongan lelaki turut mendapatkan rawatan tersebut selain kebanyakan wanita yang berusia antara 20 hingga 60 tahun.

Perunding kecantikan bebas produk kecantikan Mary Kay, Qathrunnada Mahmud berkata, ramai wanita menjadi mangsa penyalahangunaan produk kecantikan.

“Kita faham setiap wanita ingin kelihatan cantik, tetapi perlu seiring, maknanya nak cantik pun kena ada ilmu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jangan main hentam kromo saja sehingga membahayakan nyawa sendiri, perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak sihat dan menjadi satu obsesi terlampau”.

Katanya, adalah penting untuk melakukan kajian dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum menggunakan sesuatu produk kecantikan.

“Ini kerana lambakan produk segera amat bahaya serta disebabkan itu perlunya ada perlindungan diri kerana fizikal luaran dan dalaman adalah penting untuk kesihatan,” katanya.