- Iklan -
Berita

Walaupun pembeli kurang ke pasar malam, lebih baik daripada tiada, kata peniaga

Peniaga berkata perniagaan belum rancak, masih belum cukup untuk menampung kos kehidupan.

Yee Hans Ng
2 minit bacaan
Kongsi
Walaupun hasil jualan turun sehingga 50%, para peniaga pasar malam tetap bersyukur boleh berniaga kembali.
Walaupun hasil jualan turun sehingga 50%, para peniaga pasar malam tetap bersyukur boleh berniaga kembali.

Bagi peniaga pasar malam, seperti perniagaan bukan dalam kategori sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu lain, yang diarahkan tutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lampu hijau untuk membuka kembali perniagaan memberikan kelegaan.

Walaupun perniagaan tidak serancak dahulu, tetapi lebih baik daripada tiada.

Kebanyakan daripada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada pasar malam ini.

Ketika tidak dibenarkan berniaga semasa PKP dilaksanakan kembali baru-baru ini, ramai yang terjejas.

“Jika kami perlu menutup sepenuhnya sepanjang PKP, habislah kerana tiada gaji bulanan,” kata seorang peniaga pasar malam di Petaling Jaya kepada MalaysiaNow.

“Gaji kami bergantung kepada kerja dilakukan”.

Jadi, apabila kerajaan mengumumkan pada 4 Februari beberapa sektor perniagaan termasuk pasar malam dibenarkan beroperasi kembali, ramai yang menghembuskan nafas lega.

Ini adalah lanjutan daripada pengumuman awal pada 29 Januari bahawa pasar malam dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Peniaga mempersoalkan arahan penutupan di bawah PKP, mengatakan pasar pagi masih dibenarkan beroperasi walaupun terdapat kawalan pergerakan.

Menurut jadual yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya selepas pengumuman pertama, terdapat lebih kurang 50 pasar malam di ibu kota dan sekurang-kurangnya 20 di Petaling Jaya dibenarkan beroperasi pada hari-hari tertentu dalam seminggu dari 4 petang hingga 10 malam.

Selepas pengumuman tersebut, peniaga berharap mereka dapat menebus kembali pendapatan yang hilang sejak beberapa minggu lepas. Akan tetapi ramai yang merasakan perniagaan tidak serancak dahulu.

Peniaga di pasar malam Petaling Jaya menggambarkan situasi ini sebagai masih boleh diterima dan menambah dia hanya mendapat cukup-cukup untuk meneruskan kehidupan.

“Kurang-kurangnya bolehlah tampung kehidupan dan beli makanan,” katanya.

“Kami bekerja hari ini dan dapat gaji hari ini. Bila dapat gaji hari ini, kami makan hari ini”.

Dia berjaya mendapatkan stok dan masih ada untung walaupun belum menaikkan harga.

“Kalau naikkan pun, sedikit sahaja hasil bertambah,” katanya.

“Perniagaan masih boleh hidup tetapi kami hilang 50% hasil jualan”.

Pengunjung perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum dibenarkan masuk dan membeli barang keperluan.

Di Kuala Lumpur, ceritanya hampir sama.

Seorang peniaga memberitahu MalaysiaNow jualannya jatuh sebanyak 50%.

“Walaupun sektor kami dibenarkan beroperasi kembali, masih belum dapat pendapatan yang cukup untuk meneruskan kehidupan. Tiada gaji, tiadalah duit”.

Semenjak PKP 2.0 diperkenalkan, ramai yang memilih untuk tinggal di rumah ketika kerajaan berperang dengan peningkatan jangkitan Covid-19 yang menyaksikan kes harian mencecah empat angka sejak akhir tahun lepas.

Apabila kawalan pergerakan dilaksanakan pada 13 Januari lalu, hanya segelintir perniagaan seperti restoran dan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi.

Seorang peniaga di Kuala Lumpur yang menjual makanan ringan digoreng berkata, perniagaan terlalu perlahan menyebabkannya tertanya-tanya apakah orang ramai tahu pasar malam sudah dibenarkan beroperasi.

“Ini baru minggu pertama dan ramai di luar sana yang tidak sedar kami sudah dibenarkan beroperasi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Akan tetapi perniagaan tidak rancak bukan satu-satunya masalah dihadapi peniaga, ramai yang perlu merentas daerah untuk ke tempat kerja.

“Untuk datang bekerja susah kerana saya perlu datang dari Kuala Lumpur,” kata seorang peniaga.

“Terdapat banyak sekatan jalan raya dan ambil masa lebih lama untuk ke sini dan pulang.”

PKP setakat ini yang ditetapkan sehingga 18 Februari, mungkin akan membantu meningkatkan perniagaan peniaga pasar malam.

Sehingga ia benar-benar berlaku, mereka hanya mampu berharap.