- Iklan -
Berita

Putrajaya senarai 37 perkhidmatan perlu sepanjang PKP

Bagi syarikat yang sudah berdaftar dengan CIMS tidak perlu membuat pendaftaran semula.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Sektor pembinaan merupakan salah satu daripada lima sektor penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sektor pembinaan merupakan salah satu daripada lima sektor penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Putrajaya hari ini menyenaraikan 37 perkhidmatan perlu daripada lima sektor penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri, bermula esok.

Senarai tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) meliputi syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.

Menteri Miti Mohamed Azmin Ali berkata syarikat-syarikat yang berdaftar dengan pangkalan data Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi, bagaimanapun perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran daripada pautan https://notification.miti.gov.my bermula pukul 3 petang hari ini.

Katanya satu salinan surat notifikasi perlu diberikan kepada pekerja yang dibenarkan untuk berada di tempat kerja, dan dibekalkan oleh majikan bersama pas pekerja/surat pengesahan majikan, bagi memudahkan agensi penguat kuasa sepanjang tempoh PKP.

“Pihak Miti memaklumkan kepada pihak PDRM berhubung perkara ini bagi memudahkan pergerakan di operasi sekatan jalan raya (SJR),” kata Azmin.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah, sebagai langkah membendung lonjakan jangkitan Covid-19 yang sudah mengorbankan lebih 500 nyawa di seluruh negara.

Azmin berkata kementeriannya mengambil kira pandangan daripada persatuan-persatuan industri bagi memastikan kelangsungan operasi serta pelan kesinambungan syarikat sepanjang tempoh PKP.

“Hasil daripada libat urus dan kerjasama dengan persatuan industri, dewan perniagaan dan lain-lain pihak kepentingan, Miti telah merangka prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif, relevan dan praktikal,” katanya.

Katanya di antara pertimbangan penting yang turut diambil kira adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport memandangkan Malaysia merupakan salah satu negara utama dalam eko-sistem rantaian bekalan global.

Azmin juga berkata hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat, manakala jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja-pekerja yang terlibat secara langsung dalam pengeluaran akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

Katanya Miti akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala di sepanjang tempoh PKP untuk memastikan syarikat mematuhi SOP dan akan mengambil tindakan mengkompaun kesalahan di Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Sebagai barisan hadapan ekonomi negara, Miti akan terus memastikan persekitaran dalam negara yang kondusif dan mesra-perniagaan bagi merancakkan aktiviti-aktiviti ekonomi beroperasi dengan lancar dan terus berkembang,” tambahnya.

Miti turut mengeluarkan senarai soalan paling kerap ditanya di https://www.miti.gov.my/redir/pkp/faq.html.

Senarai 37 perkhidmatan perlu sehingga 10 Januari adalah seperti berikut:

A. Pengilangan dan Pembuatan
1. Aeroangkasa termasuk MRO
2. Pengilangan dan Perkhidmatan Lepas Jualan Automotif
3. Makanan, minuman dan rantaiannya
4. Pembungkusan dan percetakan
5. Produk barangan rumah, barang penjagaan diri (FMCG – sabun, pembersih diri dan lain-lain) dan bahan pencuci termasuk rantaiannya
6. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet
7. Peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan keselamatan kebakaran
8. Komponen untuk alat perubatan
9. Elektrikal dan elektronik
10. Minyak dan gas
11. Petrokimia dan produk petrokimia
12. Produk kimia
13. Mesin dan peralatan
14. Seramik (seramik sebagai acuan bagi pembuatan sarung tangan)
15. Besi dan keluli
16. Tekstil (yang melibatkan pengeluaran PPE)
17. Sektor perabot
18. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.
B. Pembinaan
19. Pembinaan:
i. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
ii. Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama
iii. Kerja-kerja pembinaan bangunan yang menyediakan
penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).
C. Perkhidmatan
20. Perkhidmatan Kewangan dan rantaiannya:
i. Institusi Kewangan (Perbankan, Insurans, Takaful dan entitientiti lain yang dilesen, diilulus atau didaftar oleh Bank Negara Malaysia) dan
ii. Entiti-entiti pasaran modal yang dilesen, didaftar atau dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
21. Perkhidmatan perbandaran dan kerajaan tempatan:
i. Pajak gadai/kredit komuniti (syarikat peminjam wang berlesen)
ii. Pengurusan sisa pepejal/ pembetungan
iii. Pembersihan awam dan
iv. Pembersihan premis dan sanitasi.
22. Infrastuktur telekomunikasi dan digital termasuk perkhidmatan ICT dan perkhidmatan perniagaan global (GBS)
23. E-Dagang dan rantaiannya termasuk perkhidmatan e-marketplace, pembayaran digital dan pusat internet e-dagang setempat
24. Hotel dan penginapan
25. Sektor pertanian, perikanan dan penternakan termasuk perkhidmatan veterinar:
i. Pengurusan ladang/ sarang burung walit/ kuda/ loji pemprosesan haiwan/ rumah sembelihan/ ternakan/ kilang makanan haiwan ternakan/pembekal spt vaksin/pengurusan ternakan/kedai haiwan kesayangan (operasi pemindahan ternakan adalah pada waktu malam)
ii. Kawalan penyakit dan dikawalselia pengeluaran ternakan hidup, input ternakan dan produk berkaitan industri ternakan (termasuk eksport dan import); dan
iii. Pengurusan kesihatan, diagnosa penyakit dan rawatan haiwan.
26. Utiliti (air dan tenaga)
27. Perkhidmatan profesional (termasuk akauntan/ peguam/ auditor/ jurutera/ arkitek), saintifik (termasuk R&D) dan teknikal (termasuk penyenggaraan)
28. Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (Security Services)
29. Keselamatan dan Pertahanan
30. Pengangkutan melalui darat, air dan udara
31. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan dan pemindahan kargo, pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi.
D. Perdagangan Pengedaran
32. Penggudangan dan Logistik
33. Perkhidmatan/ Penjualan/ Penghantaran Makanan dan Minuman
34. Peruncitan/ Pengedaran/ Pemborongan
E. Perladangan dan Komoditi
35. Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya dan
36. Perladangan dan komoditi serta rantaiannya.
F. Lain – Lain
37. Apa-apa perkhidmatan, kerja, industri dan perniagaan sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Kesihatan selepas berunding dengan pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan, kerja, industri dan perniagaan itu.