- Iklan -
Berita

Adakah kartel perniagaan berasaskan kaum sudah berakhir?

Ketika agensi kerajaan gagal melakukannya, teknologi mungkin mampu mengakhiri monopoli perniagaan melibatkan kaum tertentu.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Pengurup wang yang kebiasaan dikendalikan oleh kaum India Muslim di Malaysia. Gambar: AFP
Pengurup wang yang kebiasaan dikendalikan oleh kaum India Muslim di Malaysia. Gambar: AFP

Berapa kali dalam hidup ini anda pernah lihat pengurup wang bukan India, atau perniagaan farmasi yang dikendalikan selain daripada orang Cina?

Satu teori mengatakan pengurup wang yang ada hari ini merupakan perniagaan diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka sejak zaman British menjajah Malaya lagi.

Bagi farmasi, atau kedai aksesori kereta, mereka dikatakan beroperasi dalam satu jaringan kaum yang rapat, dan menurunkan semua rahsia dan selok-belok perniagaan kepada generasi muda.

Dalam erti kata lain, mereka ini tidak ubah seperti sebuah kartel, yang berjaya membina tembok sekeliling perniagaan mereka sejak sekian lama, malah sukar ditembusi pihak kerajaan.

Banyak percubaan dilakukan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk memecahkan monopoli perniagaan ini tetapi tidak berjaya.

Paling baru adalah perniagaan berkaitan peralatan teknologi.

Pada 2015, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah ketika itu, Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan Mara Digital Mall, satu rancangan bagi membolehkan Bumiputera terlibat dalam perniagaan berpendapatan lumayan, yang akhirnya dilihat mampu memecah monopoli satu kaum seperti dilihat di Plaza Low Yat, di Kuala Lumpur.

Mara Digital Mall di Kuala Lumpur.

Isu sensitif

Rancangan itu gagal meskipun pelbagai insentif diberikan, dan terdapat aduan daripada para peniaga cara monopoli sama dilakukan, cuma kali ini orang di sebaliknya merupakan salah seorang daripada mereka sendiri.

Topik kartel atau perniagaan bebas yang bekerjasama sehingga hampir mengawal sepenuhnya pasaran boleh menjadi satu isu sensitif.

Selama beberapa dekad, sesetengah sektor perniagaan dalam negara ini berjaya disebabkan oleh asas kebersamaan dengan aktiviti yang didominasi oleh mereka dalam komuniti tertentu.

Tetapi di mana kerajaan gagal, teknologi mungkin mampu boleh melakukannya, kata seorang ahli akademik.

Malah dengan melakukan itu ada harapan, ia dapat mencetuskan interaksi antara kumpulan berbeza.

Ia sudahpun berlaku, kata Prof Izlin Ismail, yang mengetuai Pusat Kecemerlangan Perniagaan Universiti Malaya.

“Lihat saja kepada perniagaan tukaran mata wang yang kini sudah dalam talian,” katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada sektor yang kebiasaannya diwarisi dan dikaitkan dengan orang India Muslim.

Katanya bengkel membaiki kereta, satu ketika dahulu dikuasai kaum Cina, juga sudah sampai ke penghujung jalan.

“Kereta baru semuanya menuju ke arah elektronik dan elektrik.”

Dengan kemajuan teknologi, semakin ramai orang mampu memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam sektor tertentu.

Peranan sebenar kerajaan

Namun, ia bukan pengakhiran kepada kartel, kata Izlin, kerana mereka mengawal rantaian bekalan.

“Disebabkan komuniti itu mengawal rantaian bekalan, ia amat sukar untuk orang lain dari luar kumpulan tersebut untuk menembusi pasaran,” katanya.

“Kerajaan pernah mencuba memberi peluang kepada Bumiputera untuk terlibat dalam perniagaan ini, tetapi tidak pernah berjaya. Ia kerana di tengah-tengah rantaian bekalan itu, wujud hubungan kaum yang akan memberi keutamaan kepada mereka yang ada dalam kumpulan itu.”

Pun begitu, tambahnya, ahli-ahli ekonomi secara amnya ragu-ragu mengenai campur tangan kerajaan kerana pasaran adalah lebih baik pada peringkat pengagihan sumber.

“Campur tangan kerajaan diperlukan jika berlaku kegagalan pasaran.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan pasaran lebih efisien, dan bukan mengambil alih peranan mereka.”

Kegagalan pasaran kebiasaannya berlaku apabila penawaran barangan dan perkhidmatan tidak memenuhi permintaan.

Bagaimanapun Izlin berkata, terdapat kekurangan data mengenai pengaruh kartel yang akhirnya menyukarkan penilaian sama ada mereka ini tidak baik untuk ekonomi.

Walaupun begitu, ahli-ahli ekonomi percaya mengurangkan halangan untuk berniaga adalah baik untuk ekonomi.