Bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan Warisan akan mengembangkan partinya ke Semenanjung Malaysia, satu langkah yang dilihat bakal memberikan cabaran kepada parti berbilang kaum seperti PKR.
“Langkah ini perlu kerana sudah tiba masanya pemimpin dari Sabah bukan hanya mengikut telunjuk Persekutuan, sebaliknya menjadi kata pemutus dalam soal menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hala tuju baru parti ini juga adalah bagi menunaikan permintaan kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung,” kata Shafie dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook petang ini.
Shafie berkata, beliau bertemu dengan penduduk Sabah yang berada di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Mereka cakap bela kami datuk, ramai orang Sabah bekerja di Semenanjung termasuk Johor.
“Sudah tiba masanya kita kembangkan sayap ke Semenanjung. Sebagai parti yang berbilang agama dan bangsa serta memperjuangkan konsep Unity atau Perpaduan, Warisan sememangnya layak untuk mewakili setiap rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah tetapi juga Semenanjung,” katanya yang juga ahli Parlimen Semporna.
Shafie berkata, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, konsep “Unity” mendapat sokongan rakyat dan pemimpin dari Semenanjung membolehkan Warisan menjadi parti tunggal terbesar di Sabah.
“Di Semenanjung, terdapat lebih 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di sana, mereka tentunya mahukan sebuah parti yang memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam proses pembangunan negara,” katanya.
Semasa PRN Sabah baru-baru ini, walaupun menang kerusi terbanyak, Warisan Plus yang dipimpin Warisan gagal membentuk kerajaan negeri.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya PBS menawan tujuh kerusi.
Sementara Warisan memenangi 29 kerusi, PKR menang dua kerusi, seterusnya Upko hanya satu kerusi.
Ini membolehkan GRS membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Ketika kempen PRN Sabah baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencadangkan agar Shafie dijadikan calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) selain daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Kenyataan Lim itu menimbulkan kemarahan anak kepada Anwar, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR.
Menerusi kenyataan di Twitternya, Nurul berkata, fokus PH pada ketika itu ialah PRN Sabah.
“Bukannya berlumba-lumba melanggar semangat setiakawan,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu.