- Iklan -
Berita

Belanjawan 2021 KPKT lulus dengan 106 undi

Peruntukan KPKT bernilai RM5.36 bilion lulus dengan undian belah bahagi.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan undian belah bahagi. Gambar: Bernama
Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan undian belah bahagi. Gambar: Bernama

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan undi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diluluskan secara undian belah bahagi dengan 106 setuju, 96 tidak setuju manakala 18 tidak hadir di Dewan Rakyat hari ini.

KPKT di bawah kendalian Zuraida Kamaruddin menerima peruntukan RM5.36 bilion diluluskan dan merupakan undian belah bahagi yang ketujuh bagi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021.

Terdahulu empat usul untuk memotong peruntukan di bawah kod Penggerak Komuniti Tempatan RM8.6 juta ditolak selepas ia dibahaskan oleh empat ahli Parlimen iaitu Tanjong Malim, Lembah Pantai, Pasir Gudang dan Tuaran yang mengemukakan usul tersebut.

Kemudian empat ahli Parlimen daripada blok kerajaan juga membahas agar ia tidak dipotong iaitu dari Arau, Padang Rengas, Tambun dan Tanjong Karang.

Awal hari ini Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan lulus dengan undian suara meskipun penuh dengan kontroversi daripada kedua-dua belah pihak blok kerajaan dan pembangkang yang membangkit pelbagai isu serta persoalan mengenai pandemik Covid-19.