- Iklan -
Berita

Jika bersendirian, Umno tak jadi kerajaan lepas PRU15, kata penganalisis

Perpecahan PN akan menguntungkan PH dan keputusan PRU14 mungkin berulang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama ketua-ketua PN menunjukkan risalah simbolik Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk PRN baru-baru ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama ketua-ketua PN menunjukkan risalah simbolik Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk PRN baru-baru ini. Gambar: Bernama

Umno bakal berdepan dengan nasib seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika meninggalkan Perikatan Nasional (PN) kata penganalisis ketika sesetengah pemimpin mengatakan parti Melayu itu mampu berkuasa walaupun bergerak bersendirian.

Mereka berkata, parti yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pilihan dan perlu akur kepada popularitinya dan kekal dalam PN untuk memastikan tidak dikalahkan Pakatan Harapan (PH).

“Terdapat pandangan dalam Umno yang rasa kuat kalau bersendirian. Pandangan ini timbul selepas melihat kepada trend Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti Slim baru-baru ini.

“Akan tetapi kerusi seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, sudah memang kubu kuat mereka. Umno tidak akan menang pilihan raya umum jika bertanding secara bersendirian,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar kepada MalaysiaNow.

Hisommudin berkata, sekiranya Umno bersendirian dan tidak bersama PN, undi Melayu yang menjadi tempat mereka bergantung akan berpecah dan ini memberi kelebihan kepada PH untuk menang.

Pada PRU14 2018, PH berjaya mengambil alih Putrajaya kerana mempunyai sokongan kuat daripada bukan Melayu.

PH yang menggunakan logo PKR pada ketika itu bertembung tiga penjuru melawan Umno dan PAS hampir di semua kerusi menyebabkan undi Melayu berpecah.

Selepas PRU14, Umno dan PAS bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan undi Melayu tidak berpecah dan ini memberikan mereka kelebihan dalam beberapa PRK seperti Cameron Highland, Rantau, Kimanis, Semenyih, Tanjung Piai dan Slim.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian turut bersetuju PH mempunyai kelebihan sekiranya parti-parti menyokong PN tidak bersatu.

“Agak sukar bagi Umno kalau tak bergabung dengan PN kerana persaingan mungkin akan jadi seperti PRU14.

“Keputusan PRU juga akan jadi seperti PRU14,” kata Ibrahim merujuk kepada keputusan PRU14 yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru menguntungkan PH.

Seorang lagi penganalisis berkata, walaupun sebelum ini Umno merupakan parti dominan ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu, di dalam kerajaan PN hari ini, parti Melayu itu hanyalah salah satu daripada parti menyokong.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN). Gambar: Bernama

“Dalam konteks politik dan kerajaan, Muhyiddin adalah ketua PN dan ketua kerajaan PN dan Ahmad Zahid Hamidi adalah pengikut kerana Umno adalah satu daripada parti-parti lain yang memberi sokongan kepada kerajaan PN.

“Maka Zahid kena faham itu dan ikut protokol. Selagi Umno berada dalam Kerajaan PN maka Umno dan Zahid kena ikut protokol sebagai parti yang mendokong Kerajaan PN dan kerajaan PN itu diketuai Muhyiddin dan parti Bersatu,” kata penganalisis politik dan kerajaan, Al-Azharri Siddiq Kamunri kepada MalaysiaNow.

Mengapa Muhyiddin?

Al-Azharri berkata, meskipun kedua-dua nama besar dalam dunia politik ini berasal daripada DNA yang sama iaitu Umno, banyak perubahan yang berlaku menyebabkan penampilan Muhyiddin lebih menyerlah sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

“Mereka berasal dari parti sama tapi sudah banyak perubahan. Pertama, Muhyiddin adalah pemimpin berwibawa semasa dalam Umno sehingga menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

“Kedua Muhyddin juga lebih berpengalaman apabila beliau berjaya membuktikan dia mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan dalam masa singkat menjadi perdana menteri ke-8,” katanya.

Al-Azharri berkata, kepimpinan Muhyiddin lebih terserlah apabila beliau berjaya membina politik perspektif baru melalui Bersatu.

Katanya, ini berbeza dengan Zahid dan Umno yang merosot sokongannya dalam kalangan Melayu jika bertanding sendirian.

“Nasib baiklah ada MN di mana Umno masih boleh berdiri megah dengan sokongan tambahan daripada ahli-ahli dan penyokong PAS,” katanya.

*Fazreen Kamal turut menyumbang dalam laporan ini.