- Iklan -
Berita

Inkues Nora Anne ditangguhkan ke 14 Sept

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban ditangguhkan ke 14 Sept, setelah berlangsung selama 2 minggu. Koroner Maimoonah Aid membuat ketetapan itu pada prosiding hari ini dan memutuskan, dua saksi akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang dijadualkan berlangsung sehari itu. Terdahulu, posiding inkues berkenaan yang berlangsung […]

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
French-Irish teenager Nora Anne Quoirin was found dead over a week after she went missing on Aug 4 last year. Photo: Bernama
French-Irish teenager Nora Anne Quoirin was found dead over a week after she went missing on Aug 4 last year. Photo: Bernama

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban ditangguhkan ke 14 Sept, setelah berlangsung selama 2 minggu.

Koroner Maimoonah Aid membuat ketetapan itu pada prosiding hari ini dan memutuskan, dua saksi akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang dijadualkan berlangsung sehari itu.

Terdahulu, posiding inkues berkenaan yang berlangsung di hadapan Maimoonah bermula 24 Ogos lepas, menyaksikan 14 daripada 64 saksi kes berkenaan, telah memberi keterangan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas beliau dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Terdahulu ketika prosiding, Mahkamah Koroner diberitahu 29 premis termasuk resort persendirian diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bagi mencari petunjuk keberadaan Nora.

Saksi ke-14 prosiding inkues bagi mencari punca kematian gadis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Azam Ismail memberitahu, ia membabitkan 7 villa yang terdapat di resort The Shorea, yang terletak berdekatan dengan The Dusun Resort, lokasi penginapan remaja itu bersama keluarga sebaik tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019.

“Selain itu, turut diperiksa ialah 5 villa persendirian dengan 4 berpenghuni manakala satu tidak berpenghuni; 9 premis dan resort persendirian dengan 5 berpenghuni dan 4 tidak berpenghuni.

“Kita juga memeriksa dengan teliti di The Dusun Resort membabitkan 8 villa termasuk kediaman pemilik resort,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid, pada prosiding inkues yang memasuki hari ke-8 hari ini.

Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan pihaknya juga ditugaskan untuk menyiasat latar belakang ahli keluarga Nora Anne serta membuat pemprofilan semua saksi terlibat termasuk penghuni yang pernah menyewa di resort berkenaan sebelum kejadian, bagi membantu siasatan.

“Profiling ini membabitkan keluarga pengadu (Pengurus The Dusun Resort, Haanim Ahmed Bamadhaj), pekerja dan bekas pekerja The Dusun, orang tempatan yang berada di sekitar resort pada hari kejadian dan penghuni yang pernah menginap di The Dusun.

Katanya, pemprofilan itu bagi mendapatkan petunjuk baharu untuk meneruskan siasatan dengan berdasarkan perincian maklumat individu seperti rekod jenayah, rekod kenderaan dan latar belakang mereka.

Menjawab soalan Koroner Maimoonah apakah hasil daripada risikan dan siasatan terhadap ibu bapa Nora Anne, Mohd Azam berkata: “saya dapati mereka tidak pernah terbabit dengan rekod jenayah sama ada di dalam atau luar negara.”

Koroner: Ada terima apa-apa maklumat sama ada mereka ada masalah dengan orang lain di luar negara?.

Mohd Azam: Tiada Yang Arif.