- Iklan -
Kandungan Berjenama

Belanjawan 2023 buka peluang bidang TVET untuk lepasan SPM 2022

Inisiatif TVET dalam Belanjawan 2023 wajar dimanfaatkan belia.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara.
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sekali lagi diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan belia dan menangani isu pengangguran dalam kumpulan tersebut.

Tambahan pula, pelbagai peluang kerjaya masa hadapan ditawarkan dalam bidang tersebut yang boleh direbut oleh generasi muda.

Usaha berterusan pemerkasaan TVET juga merupakan inisiatif untuk menarik minat belia Malaysia, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaporkan tidak lagi berminat untuk menyambung pengajian ke menara gading.

Untuk itu, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan memperkukuhkan komitmen menerusi sejumlah inisiatif dan peruntukan yang diberikan untuk bidang tersebut. 

Agenda memperkasa TVET diletakkan melalui tujuh kementerian utama dengan jumlah peruntukan RM6.7 bilion.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohammad Rizan Hassan berkata, manfaat terbesar dalam Belanjawan 2023 adalah pemerkasaan kerjasama awam-swasta, yang membuka jalan kepada industri untuk menerajui TVET.

"Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan belia mendapatkan latihan berteknologi terkini tetapi membantu industri mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Namun kerajaan perlu segera menyediakan kerangka yang jelas dan garis panduan terperinci agar TVET yang diterajui industri boleh memberi impak besar," katanya.

Kerajaan melalui Belanjawan 2023 menekankan isu yang dihadapi pasaran buruh terutamanya graduan TVET apabila bayaran diterima mereka tidak setimpal dengan kelayakan, selain kepentingan menghasilkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri.

Malah, data menunjukkan 90% graduan TVET berjaya memperoleh pekerjaan, namun 90% daripadanya hanya meraih pendapatan sekitar RM2,000.

Dalam usaha menangani masalah ini, kerajaan bercadang untuk mengambil contoh yang diguna pakai kerajaan Pulau Pinang apabila mewujudkan kerjasama dengan pemain industri elektrik dan elektronik supaya dapat menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET disertakan gaji yang selayaknya.     .

"Kerajaan berhasrat mencontohi model ini secara rintis melibatkan institusi TVET persekutuan dengan sasaran 50 syarikat terutamanya daripada kalangan GLC.

"Syarikat peneraju ini akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka," demikian antara perincian yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Rizan menggesa semua pihak memastikan momentum mengangkat martabat TVET kekal konsisten, tambahan pula lepasan SPM sedang galak mencari institusi untuk menyambung pengajian mereka.

Katanya, gandingan antara kerajaan, industri, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu disinergikan agar proses hebahan benar-benar sampai ke akar umbi.

Belanjawan 2023 turut memperincikan usaha mengeratkan kerjasama industri apabila Skim Latihan Nasional (SLDN) diberi peruntukan RM50 juta untuk dimanfaatkan lebih 8,000 pelatih manakala program “Academy in Factory” akan dilaksanakan bagi menyediakan peluang kepada lebih 50,000 pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.

Sementara itu, bagi menggalakkan sektor swasta menggaji pekerja dengan nilai yang lebih tinggi dan setimpal, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan insentif kepada majikan yang menggajikan graduan khususnya TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan gaji yang ditawarkan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

"Dengan pelbagai insentif di bawah Perkeso, golongan belia seharusnya tidak mempunyai alasan untuk tidak mendapatkan latihan kemahiran TVET kerana sokongan sosial bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada industri.

"Promosi besar-besaran oleh institusi latihan kemahiran awam dan swasta serta NGO dilihat mampu mendekatkan TVET dengan kumpulan berkenaan," tambah Rizan.

Rizan berkata, latihan TVET jangka masa pendek iaitu sekitar satu hingga tiga bulan perlu digerakkan dengan kerjasama industri.

Sementara itu, Ahmad Izzad Fikri Hamdan mengakui pengalaman yang diperoleh menerusi TVET sangat bermanfaat apabila ia berjaya memberikan hala tuju kerjaya yang lebih stabil.

Katanya, pengalaman dan kelulusan daripada TVET membolehkan pemuda itu menerima pekerjaan di Prasarana sebagai juruteknik MRT dan beliau kini sudah bekerja bersama syarikat terkemuka itu selama empat tahun.

“Zaman moden yang sangat bergantung kepada penggunaan teknologi canggih membuktikan kemahiran yang diperoleh daripada TVET sangat berguna sekali gus membolehkan saya kekal berdaya saing dalam pasaran kerja yang bersandarkan kemahiran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada masa sama, Izzad turut menyarankan orang ramai khususnya golongan muda untuk mempertimbangkan TVET apabila kemahiran yang ditawarkan menerusi program itu mampu membuka laluan kerjaya yang lebih luas, malah mempunyai potensi untuk menawarkan pekerjaan dengan pendapatan yang lebih terjamin.

“Mereka yang berminat dalam bidang kemahiran, saya nasihatkan untuk sertai TVET kerana ia sangat berguna di masa akan datang disebabkan kemajuan teknologi, ia mendorong permintaan tinggi terhadap tenaga kerja yang mempunyai kelulusan program ini.

“Sekarang pun masih banyak syarikat yang mahu mengambil pelajar TVET kerana berkemahiran dan berkemampuan untuk membuat kerja yang menumpukan kepada kecekapan teknikal,” tambah Izzad yang menyertai pendidikan TVET pada 2015 hingga 2019.