Saturday, July 2, 2022

Kalau PM minta, saya lepaskan jawatan menteri, kata Zuraida

Zuraida bersedia untuk bertemu perdana menteri minggu ini.

Other News

Zuraida Kamaruddin bersedia melepaskan jawatan beliau sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau beliau minta saya lepaskan, saya lepaskanlah,” katanya ketika menjawab soalan berikutan keputusan beliau meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pembiayaan Global untuk Inovasi Getah oleh Majlis Getah Malaysia hari ini.

Zuraida juga memaklumkan beliau kini dalam keadaan siap sedia kerana belum menerima jemputan untuk bertemu perdana menteri.

“Beliau kata mahu jumpa saya minggu depan iaitu pada minggu ini, boleh jadi keseluruhan minggu ini tetapi saya dalam keadaan siap sedia,” katanya semasa ditanya sama ada beliau akan bertemu Ismail hari ini.

Pada minggu lepas, perdana menteri mengesahkan masih belum bertemu ahli Parlimen Ampang itu untuk membincangkan kedudukan beliau dalam Kabinet.

Ismail berkata pertemuan itu belum diadakan memandangkan Zuraida masih bercuti selepas pulang dari lawatan kerjanya ke Turki dan Greece baru-baru ini.

Sementara itu, Zuraida ketika ditanya sama ada akan menghadiri mesyuarat Kabinet esok berkata beliau masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai menteri.

“Seperti yang perdana menteri katakan, saya masih menteri, jadi sebab itu saya hadir untuk merasmikan program ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles